MITA mahu 'jual' Bagan Datuk ke peringkat antarabangsa - Uzaidi

Astro Awani
Mac 18, 2018 04:58 MYT
UZAIDI: MITA melihat kemampuan destinasi pelancongan di Bagan Datuk sebagai tarikan pelancong ke dalam negara. - BERNAMA/Fail
Persatuan Pelancong Dalam Malaysia (MITA) melihat kemampuan destinasi pelancongan di Bagan Datuk sebagai tarikan pelancong antarabangsa ke dalam negara.
Presidennya, Uzaidi Udanis berkata beberapa pertemuan juga sudah dijalankan dengan operator pelancongan di kawasan itu untuk memastikannya menjadi kenyataan.
Jelasnya, kluster pelancongan merupakan satu platform penting dalam kejayaan Aspirasi Transformasi Nasional (TN50) @Bagan Datuk.
"Kita telah berhubung dengan pemilik rumah inap dan pengusaha produk pelancongan di Bagan Datuk seperti Sky Mirror.
"Produk dan destinasi ini amat penting dan akan menarik lebih ramai lagi pelancong sekali gus menganjurkan lebih banyak acara untuk menarik lebih ramai di sini.
"Pada minggu depan, kita akan adakan 'Tourism Day' di Bagan Datuk, kita akan himpunkan seberapa ramai penggiat pelancongan dan fikir idea hendak popularkan Bagan Datuk," katanya ketika ditemui selepas majlis Aspirasi Transformasi Nasional (TN50) @Bagan Datuk di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, pada Ahad.
Pelancongan merupakan salah satu daripada lapan kluster TN50@Bagan Datuk yang akan terus diberikan penekanan selain perhubungan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, sukan, agama dan perumahan rakyat.
Sebelum in, Uzaidi memberitahu Malaysia menerima sekitar 250,000 pelancong dari China sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Katanya, angka itu berdasarkan jumlah visa yang telah dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di China iaitu sebanyak 327,000 untuk rakyat negara itu sehingga awal Mac.
#Aspirasi Transformasi Nasional #Bagan Datuk #China #MITA #Sky Mirror #TN50 #Uzaidi Udanis #Visa
;