Misteri Yosep Tesu hilang ketika buang air kecil
Bernama
Mac 11, 2019 19:36 MYT
Mac 11, 2019 19:36 MYT
Seorang pekerja warga asing hilang sejak Sabtu lepas dikhuatiri dibaham buaya semasa membuang air kecil di parit besar di sebuah ladang kelapa sawit di Loba Stabar, Tanjung Manis, kira-kira 83 kilometer dari sini.
Dalam satu laporan polis pada Ahad, rakan sekerja mangsa menyatakan sebelum kejadian itu mangsa yang dikenali sebagi Yosep Tesu, lewat 20-an, warga Indonesia telah menemui beliau untuk memaklumkan dirinya hendak pulang ke tempat kerja.
Kira-kira pukul 8 malam, rakannya itu telah mengiringi mangsa hingga ke pondok pengawal keselamatan di ladang itu sebelum mangsa memberitahu beliau hendak pergi ke tepi parit besar yang jaraknya hanya 100 meter dari pondok untuk membuang air kecil.
Apabila mangsa tidak kembali selepas beberapa ketika, rakannya yang juga warga Indonesia terus pergi ke lokasi mangsa membuang air kecil untuk mencarinya tetapi mangsa tiada di situ dan mengesyaki lelaki itu dibaham buaya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada Balai Polis Bintangor pada 4.34 petang semalam dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Operasi itu diteruskan lagi hari ini (Isnin).
-- BERNAMA