Misteri warga emas hilang terjawab, mayat dijumpai dalam but kereta
Astro Awani
Januari 6, 2021 05:18 MYT
Januari 6, 2021 05:18 MYT
PUCHONG: Misteri kehilangan seorang warga emas sejak seminggu lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di dalam but kereta malam tadi.
Kejadian disedari orang awam yang terhidu bau busuk dari kenderaan jenis Volvo yang diletakkan di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan, Puchong.
Polis yang dimaklumkan tiba kira-kira jam 7 malam sebelum pasukan bomba dan penyelamat dari Puchong dikejarkan ke lokasi bagi membantu mengumpil but kereta berkenaan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Loh Sin Kan, 70.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mangsa dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu.
Seorang suspek berusia 40 tahun kemudian ditahan setelah didapati menggunakan kad kredit mangsa pada 2 Januari lepas.
"Mangsa ialah orang hilang yang dilaporkan pada 1 Januari lalu. Kad kredit mangsa pula digunakan pada 2 Januari.
"Polis memulakan siasatan selepas suspek yang guna kad kredit mangsa ditahan di Kuala Klawang," kata Nik Ezanee.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh pada 31 Disember lalu susulan perbalahan berhubung pembelian tayar.
Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universitiu Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
#sengketa pembelian tayar
#warga emas dibunuh
#mayat dalam but kereta
#Loh Sin Kan
#Nik Ezanee Mohd Faisal
#Kuala Klawang