Misteri kematian paus dan lumba-lumba di Kuala Sala terungkai
Adie Sufian Zulkefli
April 5, 2019 19:05 MYT
April 5, 2019 19:05 MYT
Misteri kematian seekor paus dan lumba-lumba yang ditemui terdampar di perairan Yan, akhirnya terungkai.
Jabatan Perikanan Malaysia yang hari ini menjalankan operasi bedah siasat yang diketuai oleh Pegawai Penyelidik Mohd Tarmimi Ali Ahmad merumuskan, kematian mamalia itu disebabkan oleh kesan arkeologi maritim yang makin berubah.
Katanya, dua spesies mamalia yang ditemui mati di perairan Kuala Sala tiga hari lepas oleh nelayan pantai itu adalah berkaitan dengan masalah penafasan.
Mohd Tarmimi percaya, paus yang seberat 1,500 kilogram itu masih bayi dan terpisah dengan kelompok ibunya.
“Paus yang kita jumpa ini adalah daripada spesies paus Balaenopptera ebeni. Apabila kita tengok daripada saiz, ia masih lagi anak yang baru lahir dan belum lagi lepas daripada penyusuan ibu.
“Jadi, kemungkinan paus ini terpisah daripada ibunya dan terdampar di kawasan pantai berlumpur ini. Apabila ia terdampar kawasan berlumpur ini, dan mengambil udara (bernafas) mungkin termasuk sekali dengan lumpur. Lumpur itu telah memenuhi bahagian paru-parunya,” ujar beliau.
Mohd Tarmimi berkata, paus itu adalah spesies yang sama yang ditemui oleh penyelam di Perairan Pulau Payar pada 3 Mac lepas.
Manakala bagi lumba-lumba, katanya, kematiannya berpunca daripada sebab lain. Hasil bedah siasat mendapati di dalam perut ikan tersebut terdapat banyak tulang-tulang ikan sehingga menyekat laluan makanan ke usus.
Akibatnya ikan itu mengalami sakit perut yang berpanjangan.
“Berkenaan lumba-lumba ampasut ini atau nama saintifiknya Orcaella Brevirostris, apabila kita buat bedah siasat, kebiasaaannya kita akan ambil bahagian dalamannya.
“Kita tengok bahagian organ dalaman terutamanya perut dan usus, kita (dapati) banyak tulang yang terkumpul di dalam ruang perut. Jadi ini adalah satu punca kematian,” jelasnya.
Bedah siasat dilakukan lebih enam jam itu dibantu oleh Pegawai Perubatan Veterinar, Dr Syarifah Syazana Syed Ahmad dari Jabatan Veterinar Negeri Kedah.
Kedua-dua haiwan marin itu kemudian ditanam dalam satu lubang berhampiran Pantai Kuala Sala.
#kuala sala
#lumba-lumba
#mati terdampar
#paus
#paus terdampar
#pencernaan
#penghadaman
#tersekat lumpur