Misteri bau busuk terjawab

Sinar Harian
Mei 7, 2022 10:30 MYT
Rumah pusaka yang didiami warga emas itu sejak Februari lalu sebelum dia ditemukan meninggal dunia. - Foto Sinar Harian
ALOR GAJAH: Misteri bau busuk di Jalan Hj Marip Kampung Londang, Masjid Tanah di sini, membawa kepada penempuan mayat lelaki warga emas di sebuah rumah, pada petang Khamis lalu.
Mayat mangsa yang berusia 63 tahun ditemui dalam keadaan terbaring mereput di atas lantai rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang tinggal di rumah anaknya di Seremban, Negeri Sembilan kemudian berpindah tinggal di rumah pusaka itu sendirian sejak Februari lalu sebelum ditemukan meninggal dunia.
"Kita telah menerima laporan dari penduduk kampung yang mengatakan terdapat satu mayat lelaki di alamat terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Jelas beliau pemeriksaan fizikal pada tubuh badan mangsa tiada sebarang kecederaan dan tiada sebarang senjata tajam dijumpai.
Ujar beliau, tiada sebarang pengenalan dijumpai pada mayat, namun identiti mangsa dikenal pasti melalui pengecaman oleh isteri.
"Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Alor Gajah mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih kurang dua hingga empat minggu.
"Hasil siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan siasatan dijalankan di bawah kematian mengejut (SDR)," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#misteri bau busuk #warga emas #meninggal dunia #mayat
;