Misteri bau busuk bawa penemuan mayat seorang lelaki
Adie Sufian Zulkefli
Januari 10, 2025 11:45 MYT
Januari 10, 2025 11:45 MYT
ALOR SETAR: Misteri bau busuk yang menimbulkan kegusaran penduduk akhirnya terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui mati di kediamannya di Taman Serindit, Jalan Langgar, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad, berkata Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menerima makluman berkenaan kejadian jam 4.03 petang.
“Panggilan diterima daripada seorang individu yang juga jiran kepada lelaki tersebut.
“Sebelum kejadian, jirannya berasa curiga setelah mendapati lelaki tersebut tidak keluar rumah sejak beberapa hari yang lalu dan terhidu bau busuk dari rumah lelaki itu. Khuatir sesuatu berlaku, jirannya kemudian bertindak menghubungi pihak Polis dan Bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, mayat lelaki berusia 68 tahun ditemui mati dalam keadaan berbaring di atas katil di dalam bilik rumahnya.
Katanya, hasil siasatan lelaki tersebut dipercayai telah mati sejak beberapa hari yang lalu berdasarkan keadaan mayat yang telah mereput.
“Berdasarkan temu bual ke atas jirannya, mangsa bujang dan tinggal berseorangan di rumah tersebut kebiasaannya akan keluar setiap pagi untuk membeli sarapan.
“Mangsa yang juga dikatakan gemar menyendiri dan kurang bergaul dengan kejiranan difahamkan sering menerima rawatan di hospital berdekatan berkenaan penyakit darah tinggi dan kencing manis yang dihidapi,” katanya.
Jelas beliau, siasatan lanjut pihak polis di tempat kejadian tidak mengesan sebarang unsur jenayah.
Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.