Misteri bakul-bakul kecil dalam bagasi, rupanya lelaki ini cuba seludup kura-kura di KLIA

Hasimi Muhamad
Jun 26, 2019 12:52 MYT
Hasil pemeriksaan pasukan Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang klia2 menemukan 32 bakul kecil di dalam dua beg bagasi lelaki terbabit. - Foto Astro AWANI/Hasimi Muhamad
Tindakan licik dua warga India yang cuba menjadikan negara ini sebagai transit bagi kegiatan penyeludupan anak kura-kura berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Sebanyak 5,255 anak kura-kura jenis Red Ear Slider dengan anggaran nilai RM52,550 berjaya dirampas oleh pihak berkuasa berkenaan.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf, kedua-dua lelaki terbabit tiba dari Guangzhou, China pada 20 Jun lalu sebelum ditahan kira-kira jam 5.30 petang di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa (klia2).
Hasil pemeriksaan pasukan Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang klia2 menemukan 32 bakul kecil di dalam dua beg bagasi lelaki terbabit.
“Pemeriksaan penumpang pertama iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun mendapati di dalam bagasinya mengandungi 2,620 ekor anak kura-kura. Kesemua kura-kura ini dianggarkan bernilai RM26,200.
“Sementara pemeriksaan ke atas lelaki kedua berusia 42 tahun menemukan 2,635 ekor anak kura-kura di dalam bagasinya. Kesemua dianggarkan bernilai RM26,350,” katanya ketika sidang media di Kompleks Kargo Kastam, di sini, hari ini.
Jelas Zulkurnain, hasil siasatan setakat ini mendapati kedua-dua suspek yang bekerja sebagai jurujual dipercayai menjadikan Malaysia sebagai persinggahan sebelum membawa haiwan tersebut ke India.
Kata beliau, pihaknya percaya bahawa haiwan itu diseludup bagi tujuan peliharaan dan dijadikan makanan eksotik.
Ditanya adakah jenis kura-kura ini paling laris, Zulkunain berkata, “Ia mendapat sambutan mengalakkan di pasaran gelap dan dianggarkan dijual pada harga RM5 hingga RM10 seekor.”
Ujarnya, rampasan tersebut merupakan pertama kali dan terbesar bagi tahun ini yanh melibatkan penyeludupan haiwan.
Kali terakhir Kastam berjaya mematahkan sindiket penyeludupan kura-kura adalah pada dua tahun lalu, kata Zulkurnain.
“Perbuatan mengimport kura-kura tanpa lesen import merupaka satu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
“Jika disabit kesalahan, bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barangan atau RM50,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman 14 hari di Mahkamah Majistret Sepang untuk siasatan lanjut.
#KLIA #KLIA2 #Mahkamah Majistret #Malaysia #seludup kura-kura #Sepang #siasatan #sindiket #warga india
;