Miss Teen Universe 2021 ditunda tahun depan
Bernama
September 30, 2021 12:13 MYT
September 30, 2021 12:13 MYT
GEORGE TOWN: Wakil Malaysia dalam pertandingan akhir ratu cantik remaja Miss Teen Universe 2021, Dheper Reshaa Teh percaya ada hikmah di sebalik penangguhan pertandingan peringkat antarabangsa itu yang sepatutnya berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada 6 Nov ini.
Remaja kelahiran Pulau Pinang yang sedang mengikuti Diploma Pengajian Perniagaan di INTI International College Penang berkata penangguhan tersebut akan memberinya lebih banyak masa dan peluang untuk membuat persiapan.
"Saya juga ingin mendoakan yang terbaik kepada semua calon dan berharap mereka dapat menggunakan masa ini untuk mempersiapkan diri ke pertandingan akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berharap dapat membuat persembahan yang terbaik untuk negara dan masyarakat dapat menyokongnya pada pertandingan akhir itu nanti.
Semalam, Dheper, 19, berkongsi kenyataan penganjur Miss Teen Universe yang memaklumkan pertandingan peringkat antarabangsa itu ditangguhkan ke tahun depan pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Presiden Miss Teen Universe Brayhan Guerrero dalam kenyataan berkata keputusan untuk menjadualkan semula pertandingan antarabangsa itu adalah demi keselamatan peserta yang datang dari seluruh dunia.
"Kami sentiasa ingin memberikan pengalaman menakjubkan kepada semua remaja yang menyertai pertandingan dan ini juga tidak terkecuali. Kami harap dapat berjumpa anda semua di Dubai tahun depan," katanya.
Penangguhan pertandingan peringkat antarabangsaa itu dipercayai ekoran risiko penularan pandemik COVID-19 dan sekatan perjalanan di sesetengah negara.
-- BERNAMA