Miss Plus World tetap diadakan, penganjur perlu tepati janji
Hasimi Muhamad
Januari 2, 2021 15:19 MYT
Januari 2, 2021 15:19 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun dibantah pelbagai pihak, penganjuran Miss Plus World Malaysia 2020, dijangka tetap diadakan di ibu negara pada malam ini.
Bagaimanapun, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menegaskan penganjur perlu mematuhi janji sepertimana yang telah dipersetujui.
Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata, Jabatan Agama Islam (Jakim) telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur pada 31 Disember lalu, sebelum mencapai beberapa kata sepakat.
"Antara keputusan yang dicapai ialah penganjur tidak akan melibatkan peserta Muslim (menggugurkan penyertaan) dalam acara yang dijadualkan pada malam ini.
"Tiada peserta wanita beragama Islam yang akan menjadi pemenang dan menjadi wakil ke Peringkat Antarabangsa di Miss Plus World USA.
"Peserta beragama Islam hanya akan menjadi pemerhati dan duduk di meja VIP (orang kenamaan)," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Selain itu Nasrudin berkata, Jakim hanya bersetuju untuk bekerjasama dengan penganjur bagi program yang berbentuk meninggikan martabat wanita Muslim sesuai tuntutan ajaran Islam.
"Maka, besar harapan YADIM yang juga mewakili ratusan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) dan umat Islam di Malaysia, agar pihak penganjur komited dan menepati janji seperti yang dipersetujui bersama," ujar beliau.
Namun, YADIM katanya tetap mengambil pendirian dan keputusan membantah Miss Plus World sekiranya ia diteruskan dan masih menyerupai ala pertandingan ratu cantik wanita.
Terdahulu, Pas dan YADIM membantah penganjuran program tersebut kerana disifatkan sebagai program tidak bermanfaat dan berunsur kemaksiatan.