Miskin tegar: Kerajaan beri tumpuan kepada Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah

Ridauddin Daud
Julai 1, 2024 05:15 MYT
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hajah Hanifah Hajar Tun Abdul Taib pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus berusaha menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan yang lebih tinggi melebihi paras nasional.

Ringkasan AI
  • Fokus Negeri dengan Peratusan Kemiskinan Tegar Lebih Tinggi: Kerajaan memberi tumpuan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan kemiskinan tegar melebihi paras nasional. Empat negeri yang menjadi fokus adalah Sabah, Kelantan, Sarawak, dan Kedah.
  • Program Pembasmian Kemiskinan Tegar: Kerajaan memastikan lebih ramai golongan sasar miskin tegar menyertai program pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi di seluruh negara. Pelan tindakan termasuk memantapkan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan sosial.
  • Dana untuk Program Kemiskinan: Kerajaan memperuntukkan dana besar untuk melaksanakan program menangani kemiskinan, termasuk program keusahawanan, modal insan, dan peningkatan pendapatan bagi ketua isi rumah miskin tegar.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, empat negeri didapati mempunyai peratusan kemiskinan tegar lebih tinggi daripada nasional iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah.
Menurutnya, kerajaan akan memastikan lebih ramai golongan sasar miskin tegar menyertai program pembasmian kemiskinan tegar dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi di seluruh negara.
“Dari segi pelan tindakan ini, keutamaan akan diberi untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial.
“Selain itu, pembangunan inklusif akan dipertingkatkan dan kerjasama antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri akan diperkukuhkan.
“Ini dilaksanakan untuk meningkatkan akses dan peluang pertumbuhan yang seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan, keusahawanan dan taraf hidup.
“Selain itu, Kerajaan turut memperuntukkan sejumlah besar dana bagi melaksanakan program menangani kemiskinan di bawah pelbagai kementerian dan agensi antaranya meliputi program keusahawanan, modal insan, program peningkatan pendapatan lain untuk ketua isi rumah (KIR) miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin, bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN - Pasir Mas) yang bertanya negeri disasarkan oleh Kerajaan untuk mencapai sifar miskin tegar serta pelan tindakannya.
#Dewan Rakyat #miskin tegar #Sabah #Sarawak #Pasir Mas #Hanifah Hajar Taib