Misi wanita muda pastikan 'talian hayat' pelarian Syria terus bernyawa
Hilal Azmi
Disember 18, 2017 10:07 MYT
Disember 18, 2017 10:07 MYT
Sejak 2012, Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) tidak pernah lekang menabur bakti menjalankan lebih 20 misi bagi membantu pelarian Syria yang terjejas akibat perang saudara yang kini berlarutan melebihi lima tahun.
Bagi setiap misi mereka, fokus diberikan kepada usaha pembangunan semula pelarian Syria dari segi pendidikan, kesihatan serta mengaktifkan semula aktiviti ekonomi tempatan.
Malah, setiap sen sumbangan rakyat Malaysia dimanfaatkan sebaiknya dan kini menjadi antara 'talian hayat' utama pelarian Syria yang diselia dan diagihkan oleh wakil lapangan MLLFS iaitu Organisasi Bonyan.
Misi penting Nadia berhadapan musim sejuk!
Musim sejuk kali ini berbeza sama sekali!
"Suhu ketika ini mencecah paras beku (0 darjah Celcius) dan dijangka akan lebih sejuk hingga negatif lima darjah celcius!
"Saya sendiri berdebar memandangkan ini kali pertama saya mengetuai misi bantuan kemanusiaan.
"Objektif dan fokus masih sama, iaitu sampaikan bantuan kepada rakyat Syria sebaik mungkin sebab ni amanah yang kita bawa pemberian rakyat Malaysia," kata Nadia Rahmat, Ketua Misi Bantuan Musim Sejuk MLLFS 2017.
Nadia berusia 29 tahun dan sangat aktif dengan aktiviti kemanusiaan serta sukarelawan sejak zaman belajarnya.
Pernah menyertai misi MyCorps bagi membantu pelarian Syria di Jordan, menjadi platform penting untuk Nadia meneruskan usaha ini ke peringkat yang lebih tinggi.
"Fokus misi kali ini bukan sahaja untuk menyampaikan bantuan musim sejuk semata-mata, tetapi mahu mendalami serta mendekati isu yang melanda wanita dan kanak-kanak pelarian Syria.
"Kita tahu, melalui pengalaman saya dalam misi yang saya ikuti sebelum ini, rata-rata wanita trauma akibat suami atau bapa mereka yang dibunuh di depan mata.
"Ada antara mereka sehingga takut untuk bertemu dan bercakap dengan orang luar.
"Jadi usaha kali ini sedikit berbeza, kami mahu yakinkan rakyat malaysia bahawa misi bantuan ni bukan main-main," jelas Nadia yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Turki bagi menjayakan misi yang julung kali diadakan ini membabitkan pelarian Syria di Gaziantap, Kilis dan Sanli Urta.
"Melalui misi ini, saya yakin, ia merupakan peluang terbaik bagi memastikan fokus pembangunan semula ibu-ibu tunggal serta anak yatim di Syria dapat dibuat dengan lebih berkesan malah bakal menginspirasikan rakyat Malaysia.
"Sebagai langkah keselamatan, kami ikut nasihat yang diberikan pasukan lapangan kami di Turki malah kami juga telah pun maklumkan pergerakan misi ini melalui kedutaan Malaysia di sana," katanya lagi.
Personaliti turut menyumbang
Misi kali ini juga turut disertai personaliti radio serta pengacara, Fara Fauzana yang kini menjadi duta MLLFS bagi menyantuni pelarian Syria.
Jumlah bantuan yang dibawa dalam misi kali ini berjumlah RM300,000 yang mana RM200,000 disumbangkan oleh Pusat Zakat Pulau Pinang dan selebihnya menerusi kempen #Fafau4Syria .
#Fafau4Syria
#Fara Fauzana
#Malaysia Life Line For Syria
#Misi Bantuan Musim Sejuk Pelarian Syria
#Misi Bantuan Pelarian Syria
#MyCorps
#Nadia Rahmat
#Pusat Zakat Pulau Pinang