Misi Rescue Syria diterajui Malaysia berdepan situasi tegang
Hilal Azmi
Januari 23, 2014 12:14 MYT
Januari 23, 2014 12:14 MYT
Misi Rescue Syria, yang diterajui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, (MAPIM) dan Malaysia Lifeline for Syria, berjaya keluar dari Bandar Aleppo, selepas berdepan situasi tegang sejak minggu lalu.
Antara halangan yang dihadapi mereka antaranya, kejadian tembak menembak oleh Tentera Rejim Presiden Bashar Assad.
Menurut laporan Astro Awani, Hilal Azmi yang membuat liputan di Syria keadaan rombongan Misi Rescue Syria adalah selamat.
“Setakat ini kejadian tembak menembak dan serangan oleh pihak tentera rejim hanya menggunakan helikopter sahaja namun pada pagi ini lebih kurang 20 ke 30 das tembakan melalui kereta kebal telah dilepaskan dan berlaku di Aleppo,” kata Hilal.
Tambahnya lagi, rombongan Misi Rescue Syria berjaya keluar daripada bandar utama Aleppo dan sekarang ini berada di pinggir bandar berkenaan dalam usaha mereka untuk menyelamatkan diri pula.
“Setakat ini keadaan semuanya terkawal walaupun adakalanya berlakunya pertempuran-pertempuran kecil yang melibatkan puak-puak tertentu dan kami diberitahu bahawa kedudukan ataupun sempadan Turki - Syria masih lagi ditutup dan pihak kami sendiri tidak dapat keluar lagi daripada Syria,” katanya.
Rombongan kini berada di tempat yang lebih tenang berbanding bandar-bandar utama di Aleppo.