Misi Rahmah ekonomi sempadan Malaysia-Brunei tingkatkan kerjasama perdagangan
Bernama
Jun 23, 2023 04:40 MYT
Jun 23, 2023 04:40 MYT
KOTA KINABALU: Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia-Brunei mampu meningkatkan keterjaminan bekalan barangan keperluan serta kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, program itu adalah kerjasama ekonomi antara Malaysia dan negara jiran bersempadan yang menumpukan kepada pembekalan barangan keperluan.
Beliau berkata, misi itu telah dimulakan dengan pembekalan gas petroleum cecair (LPG) tidak bersubsidi dari Malaysia ke Brunei bermula 16 Jun lalu sehingga 1 Julai ini.
"Ia akan diperluas ke barang keperluan lain yang akan diperincikan antara kedua-dua negara pada masa akan datang. Pada misi kali ini, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi pengeluaran LPG di Loji Teluk Sepanggar, Sabah bersetuju membekalkan 150 tan metrik LPG tidak bersubsidi kepada Brunei.
"Pembekalan LPG tidak bersubsidi ke Brunei ini tidak akan menjejaskan kelangsungan bekalan LPG dalam negara terutama untuk isi rumah atau industri, kita ada lebihan bekalan sekitar 20 peratus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi itu di Depo Petronas Dagangan Berhad, Sepanggar, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga Brunei, Datuk Seri Awang Matsetejo Sokiaw; Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Brig Jen (B) Datuk Mahmud Saidin dan Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagangan Berhad, Khalil Jaffri Muhammad Muri.
Salahuddin berkata, jumlah dan kekerapan pembekalan LPG dan barangan keperluan lain menerusi misi tersebut akan dilakukan mengikut permintaan dan keperluan kedua-dua belah negara.
"Saya bercadang mengadakan lawatan rasmi ke Brunei pada Ogos depan untuk melihat potensi dan bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi sempadan ini, sesuatu yang baik untuk kita dapatkan pendapatan baharu, mungkin kita boleh cipta peluang pekerjaan kepada dua negara di kawasan sempadan kita," katanya.
Beliau berkata, kerjasama serantau terutama dengan negara jiran adalah potensi yang wajar diteroka dan ditingkatkan, misi sedemikian diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada kedua-dua negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi masa ini. - BERNAMA