Misi Olimpik 2020: Phee Jinq En, Khairulnizam fokus buru pingat

Eton Khir
Julai 22, 2021 09:47 MYT
Phee (kiri) dan Khairulnizam antara yang berkongsi menerusi media sosial debaran yang dirasai dalam memburu pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Foto Instagram Phee Jinq En /Khairulnizam Mohd Afendy.
KUALA LUMPUR: Debaran Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetap dirasai atlet negara ketika dunia berdepan pandemik COVID-19 yang melanda sejak awal tahun lalu.
Bagi perenang negara Phee Jinq En, kecundang di kejohanan Olimpik sulung Rio 2016 tidak mematahkan semangat juangnya, malah terus kekal positif memberi tumpuan untuk menyinar di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Menerusi hantaran di Instagram, Phee berkongsi foto sebelum berlepas ke Tokyo pada Ahad dan bergambar di tugu Olimpik semalam, menzahirkan kegembiraan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dia bakal beraksi dalam acara 100m dan 200m kuak dada wanita manakala Welson Sim Wee Sheng akan menyertai acara 200m dan 400m gaya bebas lelaki.
Acara renang akan berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos.
Turut sibuk mempersiapkan diri untuk temasya sukan tersebut ialah Khairulnizam Mohd Afendy.
Atlet berusia 27 tahun itu, sebelum ini meraih tempat ke-35 pada Olimpik Rio 2016 dan meletakkan harapan untuk menamatkan saingan dalam kelompok 20 terbaik di Tokyo.
Beliau berkongsikan di laman sosial miliknya, kapal layar yang akan digunakan di Tokyo.
Selain itu, dua lagi atlet pelayaran negara iaitu Juni Karimah Noor Jamali dan Nuraisyah Jamil turut layak ke Tokyo dalam kelas 470, manakala Nur Shazrin Mohd Latif bagi kelas laser radial.
Olimpik 2020 | Phee Jinq En dan Khairulnizam fokus buru pingat
#Instagram #Tokyo #Olimpik Rio #sukan #Olimpik #laman sosial #COVID-19 #pandemik #Sukan Olimpik Tokyo #Phee Jinq En #pingat #atlet pelayaran #kapal layar #perenang #Atlet renang
;