Misi kemanusiaan KP1M tiba di Davao

Bernama
Disember 24, 2012 08:37 MYT
Selepas lapan jam perjalanan merentasi Laut China Selatan, misi kemanusiaan Malaysia yang diketuai Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), tiba di Pangkalan Tentera Udara Filipina (PAF) di Davao City di sini.
Misi yang disertai 47 sukarelawan termasuk petugas perubatan dan warga media bagi membantu mangsa taufan Bopha di wilayah selatan Filipina itu tiba pada pukul 4 petang waktu Malaysia dan disambut Konsul Jeneral Malaysia di Davao City Abdullah Zawawi.
Sementara itu, ketua misi yang juga Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata mereka akan melawat Banganga dan Carteel esok, iaitu dua daerah paling teruk terjejas dalam kejadian 3 Dis lepas.
"Kami menyasarkan untuk membantu kira-kira 80,000 keluarga yang terjejas dengan memberi makanan, kit kebersihan diri, ubat-ubatan dan produk nutrisi bayi," katanya pada sidang media, di sini semalam.
Misi itu yang menaiki pesawat Charlie milik Tentera Udara Diraja Malaysia membawa bantuan seberat lapan tan untuk diagih kepada mangsa di kawasan terjejas.
Sementara itu, menurut Abdullah taufan tersebut menyebabkan 1,050 nyawa terkorban dan 850 masih hilang.
"Setakat ini hanya satu keluarga rakyat Malaysia terjejas di Cagayan, apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran yang diakibatkan taufan itu," katanya.
Beliau berkata usaha menyelamat masih dijalankan tentera Filipina dengan bantuan badan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa.
Taufan itu merupakan paling dahsyat melanda Mindanao dalam tempoh beberapa dekad, mengakibatkan banjir kilat serta tanah runtuh yang menjejaskan 6.2 juta penduduk.
#Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim #Kelab Putera 1Malaysia (KP1M)
;