Misi kemanusiaan ATM mangsa Bopha berjaya

Astro Awani
Disember 16, 2012 03:08 MYT
Pasukan misi penghantar bantuan kemanusiaan bagi mangsa Taufan Bopha di Wilayah Davao kepulauan Mindanao, Filipina selamat tiba di tanah air petang semalam.
Menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia, misi bantuan itu diklasifikasikan sangat berjaya.
Misi kemanusiaan yang hanya memakan masa sehari itu telah menghantar pelbagai jenis bekalan bantuan seperti makanan serta keperluan asas berupa khemah dan selimut.
Bagi ketua misi bantuan kali kedua ini, Ketua Pengarah cawangan operasi pertahanan Angkatan Tentera Malaysia Brigadier Jeneral Sanusi Samion, beliau menyifatkan segala yang dirancang berjalan lancar walaupun dalam masa yang terhad.
Untuk rekod, Malaysia adalah negara pertama yang menghulurkan bantuan selepas kepulauan itu dibadai Taufan Bopha.
#Brigadier Jeneral Sanusi Samion #Mindanao #Taufan Bopha #Tentera Udara Diraja Malaysia