Misi Haji 2024: Kayuhan suci ke Haramain dari Kuala Lumpur
Farhan Hakimi
Julai 3, 2024 12:15 MYT
Julai 3, 2024 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Dari tanah air tercinta ke Tanah Haram, tiada siapa yang menduga perjalanan beribu batu jauhnya boleh dilakukan hanya dengan menggunakan basikal.
Namun, itu yang dipilih Ahmad Mohd Isa, isteri dan rakan yang melakukan kayuhan basikal menuju ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadat haji merentasi tujuh negara selama 150 hari dari Malaysia.
Jelas bekas arkitek itu, meskipun beliau gagal menunaikan haji kerana tidak berjaya memperoleh visa Haji, beliau berpuas hati kerana pengalaman mengembara dengan basikal berbeza dibanding kenderaan umum yang lain.
"Kalau naik motosikal, kalau singgah kampung kita, akan lalui dengan cara yang laju tapi kalau dengan basikal, kita sempat bersapa dengan orang kampung, boleh 'say hi' dan sebagainya.
"Saya juga pernah diajak minum kopi, yang secara tidak langsung membuatkan saya faham berkenaan budaya komuniti setempat.
"Jadi dengan basikal, ia membolehkan saya untuk mengembara dalam keadaan perlahan tetapi pada masa sama meraikan apa yang berada di sekeliling," ujarnya.
Katanya lagi yang kini sudah berada di tanah air, basikal juga tidak memerlukan dokumen perjalanan antarabangsa atau Carnet (CPD) seperti kenderaan lain apabila memasuki negara asing.
Meskipun gagal menunaikan haji pada kali ini, beliau berharap beliau berjaya memperoleh visa mujamalah.
Visa tersebut dikeluarkan kerajaan Arab Saudi dan diuruskan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk diberikan kepada mana-mana pihak atau individu tertentu dalam jumlah kuota yang sangat terhad.
"Visa mujamalah yang saya sasar adalah yang versi 'VIP', harganya sekitar RM120,000 untuk seorang.
"Bila tahu harganya, saya perlu menyusun strategi untuk musim haji yang akan datang.
"Saya sasarkan versi 'VIP' kerana visa mujamalah ini bermula dari harga RM50,000 dan keatas.
"Jadi sekiranya saya gagal peroleh visa yang berharga RM120,000, sekurang-kurangnya saya ada kesempatan peroleh visa mujamalah berharga RM70,000 atau RM90,000 misalnya," katanya ketika berkongsikan pengalaman peribadi beliau berkenaan kayuhan bagi misi menunaikan haji dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
Perjalanan 12,000 kilometer mereka melalui jalan darat yang memakan masa tujuh bulan itu, merentasi tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).