Misi Gunung Elbrus: Pendaki tiba di zon selamat

Dania Zainuddin
September 3, 2017 16:00 MYT
Kumpulan pendaki Malaysia tiba di pusat pemindahan di Perkampungan Terskol pada Ahad. - Foto ehsan Ahmad Fakhri Abu Samah
Kumpulan pendaki Malaysia dalam misi menakluk Gunung Elbrus selamat tiba di Bandar Tyrnyauz selepas diterbangkan dari Perkampungan Terskol, Rusia, pada awal Ahad.
Setiausaha Persatuan Kembara Negara, Muhammad Rafi Kori berkata, kesemua 17 pendaki itu, yang pada Jumaat terkandas ekoran banjir lumpur yang melanda perkampungan yang terletak berhampiran gunung itu, akan berlepas ke Moscow pada pagi Isnin.
"Mereka sudah tiba di zon selamat, dan akan berlepas ke Moscow, seterusnya menaiki penerbangan pulang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Terdahulu pada Sabtu, ketua ekspedisi Ahmad Fakhri Abu Samah berkata, 17 pendaki itu sedang dalam perjalanan turun menuju ke Perkampungan Terskol bagi mendapatkan perkhidmatan helikopter untuk keluar dari kawasan bencana.
Sebelum itu, mereka terkandas di kawasan Banjaran Caucasus akibat bencana banjir lumpur.
BACA: Banjir lumpur di Perkampungan Terskol, Rusia: 19 pendaki Malaysia terkandas
BACA: Misi Elbrus: 17 pendaki Malaysia berusaha keluar dari kawasan bencana
Bagaimanapun, misi mengibarkan Jalur Gemilang di puncang Gunung Elbrus tetap tercapai walaupun terpaksa berpatah balik beberapa kali kerana cuaca buruk sebelum ini.
Selain misi mengibarkan bendera, matlamat lain kumpulan pendaki berkenaan yang turut disertai enam pendaki wanita termasuk seorang bekas pesakit kanser, ialah ingin membawa mesej bahawa kaum wanita mampu menakluki puncak tertinggi di Eropah itu.
#banjir lumpur #Gunung Elbrus #Muhammad Rafi Kori #Perkampungan Terskol #Persatuan Kembara Negara
;