Misi galakan pelancong ke China untuk promosi pelancongan Johor

Bernama
Jun 16, 2016 09:30 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor Datuk Tee Siew Kiong menunjukkan Buletin Explore Johor pada majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan Pelancaran Buletin Explore Johor, semalam. - Gambar Bernama
Kerajaan Johor menerusi Tourism Johor akan mengadakan misi galakan pelancongan ke wilayah Guangzhou, Heilongjiang dan Shandong di China sebagai usaha mengetengahkan produk dan perkhidmatan pelancongan Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata misi menerusi program 'Xplore Johor' yang diketuai beliau dengan delegasi seramai 12 orang akan bermula daripada 23 hingga 30 Jun ini.
"Misi khusus program ini adalah mempromosikan pelancongan Johor di bandar-bandar peringkat kedua seperti bandar raya Shandong dan Heilongjiang yang mempunyai populasi seramai 140 juta hingga 160 juta orang.
"Faktor ekonomi penduduk di bandar tersebut dilihat berkemampuan kerana kos sara hidup yang tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan bandar-bandar utama di China," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Buletin Xplore Johor dan berbuka puasa bersama media, di sini malam tadi.
Tee berkata antara program yang dirangka pada misi itu termasuk seminar Xplore Johor bagi mempromosikan pelancongan Johor kepada penggerak industri pelancongan China.
Beliau berkata kerajaan negeri dan Tourism Johor turut mengambil kesempatan kemudahan penerbangan terus AirAsia dari Johor Baharu-Guangzhou yang dilancarkan 30 Mei lepas untuk menarik lebih ramai pelancong China khususnya Guangzhou ke negeri ini.
Katanya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, seramai 3,056 orang penumpang telah menggunakan perkhidmatan penerbangan AK1395 dari Guangzhou-Johor Baharu sejak 29 Mei hingga semalam.
Sementara itu, mengenai Buletin Xplore Johor berkenaan, Tee berharap ia dapat mempertingkatkan kepekaan mengenai ikon pelancongan Johor sebagai destinasi percutian ideal untuk dilawati oleh pelancong domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata buletin bulanan yang diedarkan kepada orang ramai dan premis termasuk hotel itu turut berperanan sebagai medium mempromosi produk pelancongan Johor dengan setiap naskhah buletin disertakan baucar yang menawarkan diskaun ke atas produk pelancongan.
"Sebagai contoh, buletin Xplore Johor edisi pertama bulan ini disertakan baucar yang menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi mengunjungi taman tema Austin Heights, di sini," katanya.
#Heilongjiang dan Shandong di China sebagai usaha mengetengahkan produk dan perkhidmatan pelancongan Johor #Kerajaan Johor menerusi Tourism Johor akan mengadakan misi galakan pelancongan ke wilayah Guangzhou #Tee Siew Kiong
;