Misi Elbrus: 17 pendaki Malaysia berusaha keluar dari kawasan bencana

Dania Zainuddin
September 3, 2017 11:13 MYT
Tujuh belas pendaki Malaysia di Gunung Elbrus kini dalam perjalanan turun menuju ke Perkampungan Terskol bagi mendapatkan perkhidmatan helikopter untuk keluar dari kawasan bencana. -Wikipedia
Tujuh belas pendaki Malaysia di Gunung Elbrus kini dalam perjalanan turun menuju ke Perkampungan Terskol bagi mendapatkan perkhidmatan helikopter untuk keluar dari kawasan bencana.
Ketua ekspedisi Ahmad Fakhri Abu Samah berkata cuaca sejak Jumaat bertambah baik dan 16 pendaki sudah pun berjaya sampai ke puncak pada awal Sabtu.
"Ketika dalam persiapan ke masjid bagi solat Aidiladha, kami dimaklumkan mengenai bencana banjir lumpur.
"Memang dua tiga hari ini cuaca sangat buruk dengan ribut salji, dan mungkin air sungai terlalu deras, melimpah ke jalan raya sehingga runtuh, termasuk jambatan.

КБсс тж тчгма нм иpic.twitter.com/bRFNMy6Xif

— (@ComradZampolit) September 1, 2017
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Ketika kejadian, kami berada di Perkampungan Terskol, kira-kira 10 kilometer dari kawasan bencana itu," kata Ahmad Fakhri kepada Astro AWANI.
Setakat ini, semua jalan utama ke perkampungan Terskol sudah musnah dan semua penduduk dan pelancong yang terkandas kini sedang menunggu bantuan pihak berkuasa Rusia.
"Sepatutnya kami terbang semula ke Moscow pada 3 September. Memandangkan jalan raya tidak boleh digunakan, pihak kedutaan sedang berurusan dengan pihak berkuasa untuk membantu kami keluar.
"Kami akan turun dari kawasan gunung pada sebelah petang atau malam, dan kami akan cuba dapatkan perkhidmatan helikopter.
"Visa kami akan tamat pada 4 September. Kami sudah berhubung dengan pihak kedutaan dan mungkin proses visa agak sukar. Jadi kami perlu meninggalkan Rusia pada 4 haribulan ini," katanya.
Walaupun tidak terjejas dengan bencana banjir, kumpulan pendaki itu tetap terkesan secara tidak langsung.
"Apabila tanah runtuh, maknanya bekalan makanan tidak boleh sampai kerana tiada laluan darat.
"Kedua, sumber gas untuk memanas dan memasak. Saya difahamkan saluran paip gas pecah, dan kami semalam tiada pemanas, tiada air panas dan gas memasak.
"Dengan kejadian juga kami dapati ada gangguan telekomunikasi dan bekalan elektrik juga terhad," katanya.
Menurut laporan media tempatan Rusia, kira-kira 300 pelancong kini terperangkap di Gunung Elbrus dan Kementerian Kecemasannya sudah mulakan proses menyelamat.
Dalam satu kenyataan, lebih 360 pakar kecemasan menggunakan 40 kenderaan telah dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat.
Tiga helikopter Mi-8 juga digunakan untuk membawa masuk bekalan perubatan dan makanan pada masa sama, memindahkan pelancong yang terperangkap.
#Ahmad Fakhri Abu Samah #Aidiladha #Gunung Elbrus #Mi-8 #pendaki #Perkampungan Terskol #Rusia
;