Misi ekonomi produk agrikomoditi ke India perkukuh hubungan dua hala

Bernama
Julai 16, 2024 14:59 MYT
Johari yang mengetuai delegasi berkenaan dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi membincangkan cadangan kerjasama perdagangan sektor agrikomoditi kedua-dua negara. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengadakan Misi Ekonomi Produk Agrikomoditi Malaysia ke India pada 17-18 Julai ini, bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor berkenaan.
Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengetuai delegasi berkenaan dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi membincangkan isu-isu dan cadangan kerjasama perdagangan sektor agrikomoditi kedua-dua negara.
Beliau juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemain-pemain industri minyak sayuran India serta bakal menyampaikan ucaptama di Persidangan Meja Bulat Global 3.0 Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA) yang dianjurkan oleh IVPA.
Persidangan meja bulat itu akan dihadiri barisan kenamaan dan pemimpin-pemimpin industri minyak sayuran India, kata KPK dalam satu kenyataan hari ini.
India merupakan destinasi eksport terbesar bagi kelapa sawit dan produk-produk berasaskan sawit Malaysia, dengan nilai eksport berjumlah RM13.28 bilion atau 13 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport sawit negara di pasaran antarabangsa pada 2023.
Kementerian itu berharap misi berkenaan berupaya merancakkan lagi perkembangan sektor agrikomoditi negara, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan yang erat di antara Malaysia dan India.
-- BERNAMA
#kelapa sawit #Hubungan dua hala #industri minyak sayuran #sektor agrikomoditi