Misi dua beradik tunggang motosikal 5,000km, hayati erti Aidiladha
Bernama
Jun 28, 2023 12:37 MYT
Jun 28, 2023 12:37 MYT
KUALA LUMPUR: Mahu lebih menghayati erti pengorbanan ibadah korban dalam Islam, dua adik beradik memasang misi mengembara menunggang motosikal berkuasa tinggi sejauh lebih 5,000 kilometer bagi melaksanakan ibadah tersebut di Kemboja yang meraikan Aidiladha esok.
Misi dinamakan 'Misi Korban Kembara Ride 2023' disertai Zaid Muhammad Mohd Rais, 48, dan Saiful Affandee Mohd Rais, 57, daripada Troka X Plorer Team itu berlangsung selama 10 hari bermula 23 Jun lepas.
Zaid Muhammad berkata perjalanan kembara itu turut bertujuan memanjangkan sumbangan orang ramai terutama rakyat Malaysia kepada umat Islam yang merupakan golongan minoriti di negara tersebut.
Mereka bersepakat menggunakan motosikal berkuasa tinggi jenis Suzuki V-Strom 650 kerana sifatnya yang mudah dikendalikan, lasak serta berdaya tahan untuk perjalanan jauh.
"Ia adalah satu pengalaman berbeza dan mengujakan selain berpeluang mendidik diri untuk lebih bersabar dalam menempuh setiap cabaran.
"Ini kerana, adakalanya perjalanan kami sedikit mencabar apabila perlu melalui permukaan jalan yang tidak rata selain perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang panas dan berhabuk serta keadaan trafik yang berselirat berbeza dengan situasi di Malaysia," katanya kepada Bernama.
Menceritakan mengenai ibadah korban yang bakal dilaksanakan di negara yang terkenal dengan warisan Angkor Wat itu, Zaid Muhammad berkata ia akan dijalankan di beberapa kawasan antaranya Phnom Penh, Battambang dan Kampung Swai pada 29 Jun.
"Sejumlah lapan ekor lembu akan dikorbankan selain menyerahkan sumbangan beras kepada 35 keluarga di setiap kawasan dengan setiap keluarga menerima lima kilogram beras.
"Kami akan turut menyampaikan sumbangan ikhlas daripada rakyat Malaysia sebagai usaha membantu pembinaan telaga di Kemboja bagi manfaat umat Islam di negara itu," katanya yang menggunakan wang simpanan mereka sendiri bagi menjayakan misi kembara itu.
Menurut pensyarah al-Quran Jabatan Tilawah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu pengembaraan mereka kemudian akan diteruskan ke Hua Hin sebelum ke Surat Thani, Thailand pada esoknya.
"Di Thailand, kami merancang menyerahkan sumbangan beras di sebuah pusat tahfiz atau fakir miskin di sana," katanya dan menambah mereka dijangka tiba di Malaysia pada 11 malam, 3 Julai.
Zaid Muhammad berharap misi seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi inspirasi dan semangat kental kepada golongan muda dalam menyebarkan kebaikan menerusi pelbagai platform.
-- BERNAMA