Misi Al-Awda: Air mata isteri iringi kecaman terhadap Israel

Harits Asyraf Hasnan
Julai 31, 2018 16:15 MYT
Ayu (tengah) hadir bersama dua anaknya di Parlimen hari ini. - Astro AWANI
Suasana pilu menyelubungi bilik sidang media Parlimen Malaysia hari ini tatkala Ayu Mazlan memulakan bicara.
Isteri kepada aktivis Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, wakil tunggal Malaysia dalam pelayaran Freedom Flotila Coalition (FFC) Al-Awda, tampil berani di hadapan wakil media tempatan dan antarabangsa.
Selain mengharapkan pembebasan segera suaminya, dia turut mengecam tindakan Israel merampas kapal tersebut.
"Saya hanya mengharapkan pembebasan segera suami saya dan dia boleh kembali ke pangkuan kami dengan selamat.
"Saya sangat mengecam dan mengutuk tindakan Israel yang sangat zalim menangkap dan menahan aktivis flotila ini. Mereka (Israel) tidak mempunyai hak sebenarnya," ujarnya lantang.
Namun, Ayu yang hadir bersama dua anaknya, secara tiba-tiba senyap.
Dalam nada sebak, Ayu berkata: "Saya menuntut pembebasan segera bagi pihak suami saya."
Kapal kemanusiaan Al-Awda 'Right to a Just Future for Palestine' (JFP) dalam misi memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza, ditawan tentera laut rejim Israel pada Ahad lalu.
Kapal yang membawa 22 aktivis kemanusiaan, termasuk Mohd Afandi, dipintas tentera laut rejim dan ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
#aktivis #al-awda #flotilla #Gaza #Israel #Parlimen
;