MIROS sokong undang-undang keselamatan jalan raya dalam kurikulum sekolah
Afiezy Azaman
Februari 2, 2019 15:58 MYT
Februari 2, 2019 15:58 MYT
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) menyokong usaha kerajaan untuk menerapkan unsur keselamatan dan undang-undang jalan raya dalam kurikulum pendidikan di sekolah.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, nilai-nilai murni seperti menghormati undang-undang, memandu secara berhemah dan menghormati pengguna jalan raya yang lain sebenarnya perlu disemai di peringkat sekolah.
“Saya percaya jika anak-anak kita dididik sejak kecil untuk berpegang kepada nilai-nilai murni ini, mereka tidak akan tergamak untuk melanggar undang-undang termasuk memandu atau menunggang secara melulu.
“Di negara-negara maju, mereka amat menitikberatkan mengenai kepentingan menyemai nilai-nilai murni di peringkat persekolahan. Ia dilakukan secara berterusan sehingga menjadi budaya hidup.
“Di Jepun misalnya, kanak-kanak sekolah diajar untuk tunduk menghormati pemandu kereta yang berhenti untuk membolehkan mereka melintasi jalan yang secara tidak langsung mendidik mereka untuk menghormati orang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jumaat lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata kementeriannya dan Kementerian Pendidikan bekerjasama untuk menerapkan unsur-unsur keselamatan dan undang-undang jalan raya dalam kurikulum pendidikan di sekolah yang akan dilancarkan Februari ini.
“Itu adalah antara langkah yang kita buat supaya kita nak membudayakan keselamatan jalan raya ini dan menerapkan nilai-nilai keselamatan dalam minda anak-anak kita sejak di bangku sekolah,” katanya.
#jalan raya
#Kanak-kanak
#Kementerian Pendidikan
#keselamatan
#Lee Lam Thye
#Menteri Pengangkutan
#MIROS
#pelajar
#sekolah