Miros puas hati keadaan jalan Genting - GENM

Bernama
November 19, 2013 07:23 MYT
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berpuas hati dengan keadaan jalan Genting daripada semua aspek, kata Genting Malaysia Berhad (GENM).
GENM, dalam kenyataan berkata jalan itu direka bentuk dan diluluskan sebuah firma jurutera perunding terkenal di peringkat antarabangsa serta mematuhi garis panduan teknikal tempatan dan antarabangsa, termasuk pegawai American Association of State Highways and Transportation.
"Jalan itu mempunyai ciri-ciri keselamatan yang mencukupi serta diselenggara dan dinaik taraf secara berkala," kata kenyataan itu.
GENM juga berkata ia telah melantik sebuah badan bebas untuk menjalankan audit keselamatan bagi menentukan sama ada sebarang langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan.
Menurut penemuan Miros, kelajuan dan masalah brek di satu lorong yang terlalu lebar adalah antara punca sebuah bas Genting Highlands mengalami nahas pada Ogos dan menyebabkan 37 daripada 53 penumpang bas itu terbunuh.
Laporan Miros juga mendapati penggunaan penghadang keselamatan yang tidak sesuai merupakan antara enam faktor yang menyebabkan bas berkenaan terjunam ke dalam gaung.
GENM berkata pihaknya mengadakan perjumpan dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini untuk membincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan Genting.
GENM berkata pihaknya komited untuk terus bekerjsama dengan semua pihak berkuasa dan agensi berkenaan untuk menambah baik keadaan jalan itu di mana perlu.
"Kami juga akan mengambil bahagian dalam kempen keselamatan jalan raya yang dianjurkan kementerian itu, termasuk urusan pemetaan risiko jalan raya di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami," kata syarikat itu.
Sementara itu, GENM menjelaskan bahawa syarikat bas Genting Highlands Transport tidak mempunyai kaitan dengannya.
Kini, GENM mengendalikan perkhidmatan bas sendiri ke pusat peranginan itu dari KL Sentral, Pudu Sentral, stesen LRT Putra Gombak, One Utama dan stesen bas Kajang.
"Sekiranya diminta menteri berkenaan, kami akan menambah kekerapan operasi kami dari dan ke pusat peranginan itu," katanya.
#GENM #Genting Highlands #Jalan Genting #kemalangan bas #MIROS
;