MIROS bentang cadangan had laju kenderaan di pusat bandar pada April
Bernama
Mac 21, 2022 04:23 MYT
Mac 21, 2022 04:23 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan menurunkan had laju kenderaan kepada 30 kilometer sejam (km/j) dan 50 km/j di beberapa kawasan di pusat bandar di sini akan dibentangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bulan hadapan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mencadangkan perkara itu ketika ini masih membuat perincian dan penelitian mengenainya.
"Pengumpulan data serta analisis akan dibuat dan sekiranya dipersetujui maka ia akan diputuskan untuk dilaksanakan pada September ini. Kawasan yang terlibat dalam kajian MIROS ini adalah kawasan yang mempunyai had kelajuan 60km/j dan 40km/j.
"Jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70km/j dan 80km/j tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS ini," katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini, semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu pendirian DBKL terhadap cadangan MIROS untuk melaksanakan had laju kenderaan 30km/j hingga 50km/j di kawasan terpilih, sebagai mengikut jejak langkah bandar raya Paris, Perancis yang mewartakan had laju tersebut pada Ogos tahun lepas.
Jalaluddin berkata DBKL juga berpandangan cadangan pelaksanaan had laju itu adalah baik kerana ia meningkatkan ciri-ciri keselamatan pengguna jalan raya yang lain seperti penunggang basikal dan pejalan kaki.
-- BERNAMA