Miri sediakan katil tambahan, langkah awal hadapi penambahan kes - Kim Shin

Afiezul Samit
Mei 14, 2021 16:45 MYT
Datuk Lee Kim Shin berkata, setakat ini 1,100 katil telah digunakan di Hospital Miri. - Gambar Fail
MIRI: Sebanyak 109 katil tambahan disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri sebagai persediaan menghadapi peningkatan mendadak jumlah kes COVID-19 di kawasan itu.
Menteri penyelarasnya, Datuk Lee Kim Shin berkata, penambahan diberikan kepada Hospital Miri menjadikan kapasiti keseluruhan katil di hospital itu meningkat kepada 1,261 katil.
Ujarnya, perkara ini sejajar dengan pembukaan enam lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) di negeri itu.
“Ketika ini kira-kira 1,100 katil telah digunakan.
"Oleh itu, katil tambahan adalah perlu sebagai langkah siap siaga sekiranya berlaku peningkatan mendadak jumlah pesakit.
Kata Kim Shin, pesakit yang mendaftar di Hospital Miri meliputi beberapa daerah. Daerah-daerah tersebut adalah Beluru, Subis, Telang Usan dan Marudi.
“Keputusan penambahan katil dan tempat tidur ini dibuat dalam mesyuarat JPBB Miri pada Khamis.
Sementara itu, Kim Shin turut merakamkan terima kasih kepada Yayasan Tzu Buddha Taiwan Chi, Miri kerana membantu menyediakan 85 katil tambahan di Eastwood Valley Golf dan Country Club semalam.
Sebelumnya, mereka juga menyediakan 60 katil di lokasi yang sama selain menambah 85 katil yang boleh dilipat, selain bantal dan tilam untuk setiap katil.
"Secara keseluruhan, mereka telah menyediakan 145 katil di sini.
"Selain itu, mereka juga menyumbang kepada 30 katil lipat, tilam dan bantal di Perkampungan Sukan Miri," ujarnya.
Kata Kim Shin lagi, pengurusan Eastwood Valley turut membuka beberapa lagi bilik baharu yang mampu menampung 24 katil, menjadikan keseluruhan kawasan tersebut kini mempunyai
109 tempat tidur baharu yang boleh memuatkan 472 pesakit.
Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut membekalkan 15 khemah tambahan yang dilengkapi dengan tilam, bantal dan selimut di salah satu dewan di kelab tersebut, menjadikan keseluruhannya, 75 khemah setakat ini.
#COVID-19 #peningkatan kes #Hospital Miri #pandemik #JPBB Miri #Datuk Lee Kim Shin #katil #rawatan kesihatan #Sarawak #Miri
;