Minyak sawit: Tiada tolak ansur terhadap produk terbabit kempen boikot - Armizan

Madiha Abdullah
Mei 5, 2024 17:17 MYT
KPDN akan menjalankan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana produk yang terbabit dengan kempen tersebut. - Gambar fail/ Astro AWANI
BANGI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan bertolak ansur dengan produk dilabel dengan kempen memboikot produk minyak kelapa sawit.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata industri kelapa sawit adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dan pihaknya akan menjalankan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana produk yang terbabit dengan kempen tersebut.
Jelasnya, perundangan berkaitan tindakan yang dilihat mendiskriminasi minyak sawit sudah sedia ada, dan beliau menyambut baik kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap produk yang terbabit dalam kempen boikot tersebut.
"Ini termasuk aspek awal iaitu kemasukan barang yang mendiskriminasi produk berkaitan minyak sawit jadi saya fikir kerjasama ini akan melengkapkan ekosistem penguatkuasaan.
"Bukan hanya apabila barang itu telah sampai dalam negara dan di premis perniagaan tetapi kawal selia sudah bermula di pintu masuk kita," katanya ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Cawangan Pertama Richiamo Mart Sdn Bhd di Plaza Bangi Perdana, pada Ahad.
Terdahulu, Kementerian Perladangan dan Komoditi memberi amaran tegas kepada peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini agar tidak menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.
Amaran itu dibuat selepas KPDN menyerbu sebuah kedai serbaneka di Putrajaya kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan 'No Palm Oil' (NPO) atau 'Tiada Minyak Sawit' pada plastik pembungkusan produk itu.
#Armizan Mohd Ali #kpdn #minyak sawit #kempen memboikot produk minyak kelapa sawit
;