Minyak sawit: Permintaan global dijangka meningkat
Bernama
Ogos 12, 2020 19:31 MYT
Ogos 12, 2020 19:31 MYT
Majlis Negara-Negara Pengeluaran Minyak Sawit (CPOPC) yakin dengan masa hadapan minyak sawit walaupun masih berhadapan dengan ancaman COVID-19.
"COVID-19 tidak akan menjejaskan pengeluaran minyak sawit, dan permintaan masa hadapan minyak sawit akan terus meningkat di peringkat global," kata Pengarah Eksekutifnya, Tan Sri Dr Yusof Basiron dalam kenyataan penutup semasa Program Jangkauan Pekebun Kecil (SOP) yang dianjurkan oleh Sekretariat CPOPC.
Sejumlah 42 perwakilan daripada persatuan pekebun kecil dari Indonesia, Malaysia, India, Thailand dan Papua New Guinea mengambil bahagian dalam telesidang itu.
SOP bertindak sebagai platform untuk pekebun kecil dari negara-negara pengeluar minyak sawit yang menyertai rangkaian CPOPC bagi membincangkan isu-isu serta cabaran yang berkaitan dengan pembangunan kapasiti yang terhubung dengan kemakmuran dan persekitaran yang mampan.
Perbincangan itu membangkitkan kesanggupan peserta untuk mewujudkan rangkaian komunikasi global ke arah mencapai rangka kerja global yang lebih luas dan mapan bagi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.
"Kerjasama dan dialog di kalangan pekebun kecil adalah amat penting. Suatu hari nanti, pekebun kecil ini akan dilihat sebagai wira yang menghulurkan makanan kepada dunia," kata Yusof.
Beliau juga yakin pekebun kecil akan mendapat kelebihan daripada program ini, yang mana, ia akan terus mengekalkan dialog dan perbincangan di kalangan mereka khususnya, di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, telesidang hari ini membincangkan beberapa isu yang merangkumi cabaran mengenai penanaman, pensijilan kemampanan yang wajib termasuk kempen negatif yang dilancarkan ke atas minyak sawit.
Wakil Indonesia, Djono Burhan berkata pekebun kecil dan CPOPC mampu menjadi gandingan yang hebat bagi menangani kempen negatif.
"Jika tiada minyak sawit, maka tidak akan ada SDG," katanya.
Adzmi Hassan dari Malaysia pula berkata pekebun kecil amat bergantung kepada minyak sawit sebagai rezeki.
"CPOPC perlu memastikan bahawa harga di kalangan negara anggota adalah sama kerana mereka akan menggunakan piawaian yang sama (MSPO atau ISPO)," katanya.
Chennu Rohith dari India berkongsi bahawa pekebun kecil di negaranya telah menemui satu penyelesaian kepada cabaran mereka berhubung dengan penuaian.
"Terdapat masalah dalam mencari tenaga kerja mahir bagi penuaian minyak sawit, jadi kami memperkasakan dan melatih belia tempatan," katanya.
Para peserta juga melahirkan harapan agar persatuan dan CPOPC akan memberi tumpuan untuk menangani isu penstabilan harga yang terletak di luar keupayaan mereka.
Sebagai respons, Yusof yakin bahawa CPOPC akan menyokong setiap usaha bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara-negara pengeluar minyak sawit seperti perbezaan harga.
Pihak sekretariat telah menetapkan rancangan selanjutnya untuk melibatkan para pekebun kecil dari kawasan Afrika dan Amerika Latin serta Tengah secara berasingan.
Tujuan utamanya adalah untuk memetakan cabaran, jangkaan termasuk penyelesaian bagi meningkatkan kapasiti pekebun kecil dalam mencapai SDG menjelang 2030.
-- BERNAMA
#COVID-19
#CPOPC
#India
#Indonesia
#Majlis Negara-Negara Pengeluaran Minyak Sawit
#Malaysia
#minyak sawit
#Papua New Guinea
#Thailand