Minyak sawit pekebun kecil Felda tidak terjejas dengan peraturan EUDR, kata duta EU
Bernama
Mei 10, 2023 04:30 MYT
Mei 10, 2023 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Minyak sawit dihasilkan pekebun kecil di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak terjejas dengan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), kata Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Michalis Rokas.
Ini berikutan peserta projek tanah Felda itu tidak terbabit dalam usaha pembasmian hutan bagi membuka ladang-ladang baharu sejak 1990, katanya.
"Peraturan itu tidak terpakai kerana ladang-ladang (pekebun kecil) di bawah Felda tidak melakukan sebarang pembasmian hutan sejak 1990.
"Saya juga ingin menjelaskan bahawa EUDR ini hanya melibatkan tanah-tanah yang dibersihkan mulai 1 Jan, 2021," katanya pada sesi dialog minyak sawit anjuran kedutaan EU di Malaysia dan Kelab Koresponden Asing Malaysia (FCCM) yang mengetengahkan kebimbangan mengenai peraturan itu, di sini, pada Rabu.
Rokas menjelaskan EUDR telah diperkenalkan oleh EU pada November 2021 bagi mengehadkan penebangan hutan akibat penggunaan komoditi serta produk pertanian dari seluruh dunia.
Malah, beliau turut menyangkal dakwaan bahawa peraturan itu sebenarnya bertujuan melindungi kepentingan pasaran minyak bijian yang tidak mampu bersaing dengan minyak sawit.
"EUDR hanyalah satu undang-undang alam sekitar dan EU mahu menyumbang kepada usaha memerangi perubahan iklim dan pemuliharaan hutan.
"Ini satu peraturan yang adil dari segi matlamat pembangunan lestari manakala pemilihan lapan komoditi yang disenaraikan itu dibuat menerusi kajian saintifik.
"Sebagai contoh, saintis dari serata dunia telah mendapati bahawa usaha penternakan lembu adalah penyumbang utama kepada pembasmian hutan," katanya.
EUDR menetapkan syarikat-syarikat pengeksport perlu mengeluarkan laporan usaha atau ketekunan wajar dengan maklumat disahkan bahawa komoditi tersebut tidak ditanam di kawasan tanah yang dibersihkan selepas 2020.
-- BERNAMA