Minyak masak polibeg bersubsidi mencukupi di Pulau Pinang

Bernama
September 24, 2024 11:00 MYT
KPDN menggerakkan 134 pegawai penguat kuasa seluruh Pulau Pinang bagi memantau serta menangani isu kekurangan bekalan minyak masak polibeg bersubsidi. - Foto KPDN Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memberi jaminan bekalan minyak masak polibeg satu kilogram (1kg) bersubsidi di negeri itu mencukupi berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan dijalankan.
Pengarahnya S Jegan berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan berkala secara harian dan mingguan di peringkat pengilang, pembungkus, pemborong dan juga peruncit bagi memantau keberadaan minyak masak polibeg itu di pasaran.
Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan, pengedaran minyak masak polibeg bersubsidi dari 1 hingga 20 Sept lepas adalah berjumlah 2,060,000 paket.
"KPDN negeri memandang serius isu kekurangan bekalan minyak masak polibeg di pasaran sepertimana telah dibangkitkan pengguna dan media. Kami telah menggerakkan 134 pegawai penguat kuasa seluruh Pulau Pinang bagi memantau serta menangani isu kekurangan bekalan tersebut.
"Bermula 1 Jan lepas hingga kini sebanyak 37,705 pemeriksaan telah dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa di seluruh negeri dan mendapati bekalan minyak masak polibeg mencukupi namun tidak dinafikan berlaku kekurangan bekalan disebabkan permintaan tinggi daripada pengguna serta pusingan jadual penghantaran daripada pihak pembekal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jegan berkata berdasarkan kepada hasil pemeriksaan dan maklum balas daripada peniaga mendapati tiada isu kekurangan bekalan terhadap minyak masak polibeg itu kerana peniaga menerima bekalan daripada pembekal mengikut tempahan.
Katanya, KPDN juga memberi amaran keras kepada semua peniaga agar tidak mengenakan pembelian bersyarat kepada pelanggan dan setakat ini pihaknya menerima 87 aduan berkaitan barang kawalan dengan lima kes membabitkan pembelian bersyarat.
-- BERNAMA
#minyak masak polibeg bersubsidi #peniaga #KPDN Pulau Pinang #pemeriksaan berkala
;