Minyak masak peket subsidi Malaysia dijual RM5 sepeket di Tak Bai
Sinar Harian
Januari 1, 2024 14:05 MYT
Januari 1, 2024 14:05 MYT
KOTA BHARU: Minyak masak peket bersubsidi dari negara ini didakwa masih dijual di kedai-kedai di tepi sungai Golok di Tak Bai, Thailand.
Seorang peguam, Majdah Muhamad berkata, barangan terkawal tersebut dijual di beberapa kedai secara terbuka dan boleh dibeli oleh mana-mana pelanggan seperti dilihatnya ketika melawat negara itu pada Sabtu lalu.
Katanya, minyak-minyak peket itu dijual oleh peniaga negara berkenaan dengan harga lebih tinggi iaitu RM5 bagi setiap peket.
“Patutlah minyak masak bersubsidi tidak ada di pasaran, rupanya sudah berjaya dibawa masuk ke Thailand.
“Saya ke Tak Bai, lalu di kedai-kedai tepi sungai. Molek-molek ada jual minyak masak kita. Saya tanya berapa ringgit sebab kalau murah nak beli, saya beritahu di Kelantan satu kedai pun payah nak jumpa minyak masak ni. Peniaga tu bagi tau RM5 satu peket,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Isnin.
Beliau turut berkongsi perkara itu di laman sosial Facebooknya dan mendapat reaksi ramai selain meminta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan sewajarnya.
Majdah turut beranggapan kemungkinan pengilang atau peruncit menjual kepada negara berkenaan berbanding kepada rakyat Malaysia kerana untung lebih besar.
“Saya mohon pihak KPDN Kota Bharu pantau macam mana minyak masak bersubsidi ini boleh dijual secara terbuka di Thailand,” katanya.
Sebelum ini, isu sama beberapa kali pernah didedahkan oleh akhbar tempatan termasuk Sinar Harian.
Sementara itu, Sinar Harian menghubungi pihak KPDN Kelantan dan sedang menunggu maklum balas daripada pihak berkenaan. - Sinar Harian