Minyak masak 1 kilogram dihadkan tiga unit setiap pelanggan - KPDNHEP
Bernama
Januari 20, 2021 17:35 MYT
Januari 20, 2021 17:35 MYT
PUTRAJAYA: Penjual runcit dibenarkan untuk mengenakan had pembelian minyak masak pek polibeg 1 kilogram (kg) sebanyak tiga unit bagi setiap transaksi untuk setiap pelanggan, berkuatkuasa 19 Januari lalu.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, kebenaran itu bertujuan untuk memastikan lebih ramai pengguna berpeluang untuk membeli bekalan minyak masak, yang diberikan subsidi kerajaan.
Minyak masak dalam bungkusan polibeg 1kg merupakan barang kawalan yang diberikan subsidi di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).
"Kebenaran ini adalah terpakai kepada minyak masak pek polibeg 1kg sahaja dan perlu dijual dengan harga RM2.50 sekilogram," kata Azman dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Azman berkata, tiada had pembelian dikenakan ke atas minyak masak bukan dalam pek polibeg 1kg.
Azman berkata, kerajaan komited dalam memastikan kestabilan bekalan minyak masak polibeg 1kg bersubsidi, untuk memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga yang ditetapkan iaitu RM2.50 sekilogram, khususnya dalam cabaran situasi pandemik COVID-19.
Beliau berkata, KPDNHEP konsisten mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini, bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan tidak terjejas, sekali gus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan barangan keperluan asas dan penjagaan diri, adalah mencukupi di pasaran.
"Arahan ini juga memastikan tiada perlakuan peniaga yang mengambil kesempatan, memanipulasi harga dan bekalan minyak masak semasa pandemik COVID-19," katanya. - BERNAMA
#minyak masak
#pek polibeg
#bungkusan polibeg
#tiga unit
#pelanggan
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
#KPDNHEP