Minum minyak sawit merah: Semua akan jadi awet muda - Teresa Kok
Harits Asyraf Hasnan
April 9, 2019 12:48 MYT
April 9, 2019 12:48 MYT
Dewan Rakyat hari ini gamat seketika apabila Menteri Industri Utama, Teresa Kok mengajak ahli-ahli Parlimen supaya mengambil minyak sawit merah untuk kekal ‘awet muda’.
Jelasnya, minyak sawit merah yang kaya dengan mikronutrien dengan lebih 20 jenis kumpulan karotenoid juga bersifat antioksida dan bebas daripada lemak trans.
“Semua (wakil rakyat) akan diberikan minyak sawit merah secara percuma hari ini di Parlimen, semua akan dapat menikmati kelazatan minyak sawit merah ini.
“Semua akan jadi ‘awet muda’ seperti Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri, seperti Yang diPertua dan juga saya,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Ismail Sabri (BN-Bera) juga bangkit dan meminta Teresa untuk perbanyakan meminum minyak sawit merah supaya kekal awet muda.