Minum air suam atau alkohol tidak berkesan cegah COVID-19 - Dr Lee
Aida Aziz
Mac 21, 2020 14:45 MYT
Mac 21, 2020 14:45 MYT
Minum air suam bukan cara yang berkesan untuk merawat atau mencegah penularan virus COVID-19, menurut Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye.
Katanya, dakwaan dengan minum alkohol seperti yang dilaporkan di Iran baru-baru ini juga tidak sama sekali membunuh virus itu.
"Saluran pernafasan dan sistem gastrointestinal mempunyai laluan yang berbeza walaupun berkongsi kawasan umum di dalam kerongkong.
"Semasa kita makan atau minum, ada mekanisme untuk mencegah makanan atau minuman masuk ke dalam paru-paru (aspirasi).
"Apabila makanan atau minuman secara tidak sengaja memasuki paru-paru, ia menyebabkan pneumonia aspirasi dan akibatnya serius," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelas Dr Lee, COVID-19 adalah jangkitan saluran pernafasan khusus saluran pernafasan yang lebih mendalam.
Bagi pesakit yang dijangkiti, virus ini berada terutamanya di saluran pernafasan dalam dan bukan hanya di tekak.
"Walaupun suhu panas dan air panas dikatakan boleh membunuh virus, tetapi ia hanya boleh membunuhnya jika air panas itu disiram terus ke dalam paru-paru.
"Bagaimanapun secara logiknya, ia (air panas) terlebih dahulu akan membanjiri paru-paru dan membunuh pesakit sebelum virus itu mati.
"Minum air suam bukan cara yang berkesan untuk merawat atau mencegah virus COVID-19. Sama seperti minum alkohol seperti yang dilaporkan di Iran juga tidak membunuh virus," katanya.
Dia turut menasihatkan orang ramai supaya basuh tangan, elakkan daripada menyentuh muka, duduk di rumah dan guna topeng muka jika berada di tempat awam.
Ujarnya amalan itu akan mengawal atau mengelakkan jangkitan COVID-19, di samping duduk di rumah dan patuhi Perintah Kawalan Pergerakan.