'Minta maaf pada rakyat kerana termakan fitnah terhadap saya' - Rosmah

Afiezy Azaman
April 10, 2019 12:48 MYT
Datin Seri Rosmah Mansor menggesa pihak yang bertanggungjawab menyebar fitnah ke atas dirinya untuk meminta maaf kepada rakyat dek termakan kata fitnah itu. - fotoBERNAMA
Datin Seri Rosmah Mansor menggesa pihak yang bertanggungjawab menyebar fitnah ke atas dirinya untuk meminta maaf kepada rakyat selepas dakwaan termakan fitnah itu.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri itu berkata, dakwaan bahawa beliau membeli berlian merah jambu hanyalah fitnah yang digunakan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tahun lalu.
"Mereka hendak gunakan isu itu untuk (PRU), tapi malangnya orang nak percaya fitnah, namun... Alhamdulillah benda yang betul akhirnya telah keluar. Sekarang dah rasa gembirakah?
"Ada orang yang datang minta maaf, saya maafkan. Tidak apa, yang mustahak adalah meminta maaf kepada rakyat oleh kerana mereka percayakan fitnah yang disebarkan terhadap saya ini, ini baru salah satu sahaja.
BACA: Rosmah mengaku tidak bersalah terima suapan RM5 juta
BACA: Isteri VVIP tak beli berlian merah jambu
"Saya redha, saya faham suami saya pemimpin negara jadi apa saja yang dia alami, saya alami kerana saya isteri dia. Jadi saya sabar demi untuk kesejahteraan rakyat dan negara, saya sabar hadapi apa juga dugaan yang Allah beri kepada saya," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, sejurus selesai kes pendakwaan terhadap beliau.
Rosmah ditanya mengenai isu berlian berwarna merah yang terpalit kepada dirinya sebelum ini.
Pada 8 April lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengakui cincin merah jambu yang sebelum ini didakwa berharga kira-kira RM24 juta tidak dibeli oleh seorang isteri VVIP dan telah dibawa keluar dari negara ini oleh ejen jualannya.
#bekas perdana menteri #berlian #cincin merah jambu #fitnah #kompleks mahkamah kuala lumpur #minta maaf #Rosmah Mansor
;