Minta maaf atau siap sedia 'pecah tabung' - Peguam ‘Abang Bas’

Shuhada Abdul Kadir
September 17, 2024 17:32 MYT
Peguam Ahmad Zaharil (tiga, kanan) bersama 'Abang Bas' (tiga, kiri) ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Muar, hari ini. - Foto Astro AWANI
MUAR: Keluarga 'Abang Bas' mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu termasuk kalangan selebriti yang melemparkan kata-kata nista terhadap lelaki itu sepanjang ditahan polis.
Peguam secara probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, pihaknya telah mengenal pasti individu-individu berkaitan dan menasihatkan mereka untuk membuat permohonan maaf sebelum tindakan lanjut diambil.
“Kita telah kenal pasti (individu) ramai, kepada ‘haters’ yang buat komen saya cadangkan pecahlah tabung-tabung yang ada, tabung buluh, tabung ayam, kira siap-siap (duit).
“Sesiapa yang nak minta maaf, minta maaf cepat jangan sampai kita ke mahkamah. Iya lah masing-masing nak tunjuk cerdik pandai,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Muar, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zaharil berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk mendapatkan kembali bas yang dipandunya yang kini disita polis untuk siasatan lanjut.
Katanya, pihaknya juga akan membuat permohonan untuk pengurangan jaminan yang ditetapkan sebelum ini.
“Kita jangan melihat daripada satu perspektif (sahaja) sebaliknya keseluruhan, dan tidak adil bila anda tidak mengenalinya (Abang Bas) tetapi membuat pelbagai andaian di media sosial.
“Dalam masa terdekat ini kita akan membuat permohonan, afidavit semua dah siap untuk kita tandatangani. Saya janji untuk bantu dia,” katanya.
Terdahulu, tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau 'crush' dan 'kesayangan'.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Susulan itu, tertuduh yang masih bujang ditahan polis dan telah didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan 15 akta sama serta Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
#Abang Bas #tindakan undang-undang #peguam #amang seksual #Kanak-kanak #terkini
;