Minta dan terima suapan, pengarah jabatan kerajaan, anak dan menantu ditahan reman
Asyraf Roslan
September 15, 2020 13:00 MYT
September 15, 2020 13:00 MYT
Disyaki menerima wang suapan bagi mempercepatkan siasatan dan rayuan untuk mengurangkan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan, seorang pengarah jabatan kerajaan telah ditahan reman bersama anak perempuannya dan juga menantu.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek berusia antara 32 hingga 59 tahun itu ditahan semasa hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada Isnin.
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman bermula hari ini sehingga 18 September 2020.
Suspek dipercayai meminta dan menerima suapan antara RM500 hingga RM2,000 daripada pemilik-pemilik bot nelayan tempatan yang didepositkan ke dalam akaun anak perempuannya.
Tindakan tersebut merupakan sebagai balasan untuk mempercepatkan tindakan siasatan serta rayuan bagi mengurangkan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 supaya pemilik bot nelayan terbabit mendapat semula bot-bot mereka yang telah ditahan.
Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa SPRM turut menyita wang tunai dengan anggaran lebih RM21,000, barangan kemas dan jam tangan mewah.
Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.