Minoriti Siam Kelantan tidak rasa terasing, hidup harmoni dalam kemerdekaan
Bernama
September 10, 2023 16:58 MYT
September 10, 2023 16:58 MYT
TUMPAT: Masyarakat minoriti Siam Kelantan tidak pernah berasa terasing atau terpinggir dalam menjalani kehidupan bersama komuniti Melayu di negeri ini, malah perpaduan kaum yang utuh sejak sekian lama terus diperkukuhkan.
Pengerusi Persatuan Siam Kelantan Pim Chau Dam berkata asimilasi budaya yang telah sebati dan berakar umbi sejak zaman nenek moyang menjadikan mereka seperti bersaudara.
Beliau berkata masyarakat Siam di negeri ini bukan sahaja fasih menggunakan dialek Kelantan, malah masakan dan cara hidup mereka juga tidak jauh beza dengan orang Melayu.
"Keharmonian sebeginilah yang patut kita kekalkan selamanya sepertimana kita mahu mengekalkan kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara sejak 66 tahun lepas.
"Keamanan yang sedang kita kecapi ketika ini sesuatu yang tidak ternilai harganya dan perlu sentiasa dipertahankan kerana jika negara bergolak semua akan menerima tempiasnya," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Menurut Pim terdapat kira-kira 22,000 penduduk Siam di seluruh Kelantan dengan jumlah tertinggi di Tumpat iaitu 12,000 orang dan mereka tidak pernah berdepan masalah untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.
Beliau yang menetap di Kampung Terbak, di sini memaklumkan terdapat 12 wat yang menjadi tempat ibadat seharian masyarakat Siam yang lazimnya berlangsung dengan aman dan harmoni.
"Kami tidak pernah rasa asing, sebaliknya kemesraan dan hubungan baik dengan masyarakat Melayu sangat erat tanpa sebarang prejudis. Kami sama-sama menghormati dan menjunjung tinggi Perlembagaan negara," katanya.
Selain itu, Pim berkata ramai dalam kalangan orang Siam khususnya di sekitar Tumpat juga memiliki nama panggilan Melayu seperti Mat, Pak Ali dan Pak Daud sehingga mereka lebih dikenali dengan nama tersebut berbanding nama asal.
Dalam pada itu, Pim memaklumkan pelbagai aktiviti dilakukan masyarakat Siam bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan kali ini termasuk konvoi berbasikal mengelilingi Tumpat sambil mengibarkan Jalur Gemilang, selain pertandingan lagu patriotik.
Menurutnya sebagai negara yang berbilang kaum, masyarakat Siam turut memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan sedia ada.
-- BERNAMA