Mini Zoo Kuala Krai kembali dibuka selepas 17 tahun
Sinar Harian
Julai 28, 2022 06:45 MYT
Julai 28, 2022 06:45 MYT
KUALA KRAI: Selepas 17 tahun ditutup, Mini Zoo Kuala Krai kembali beroperasi kepada pengunjung dengan menempatkan lebih 50 spesies haiwan termasuk unta.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek pembangunan berteraskan ekopelancongan tersebut menelan belanja RM2.5 juta dan dibuka kepada pengunjung bermula Khamis.
Menurutnya, Zoo Kuala Krai dibina pada 24 Disember 1964 di tanah seluas 0.4 hektar dan kemudian pada tahun 1989, zoo mini itu dipindahkan ke Bukit Banding, Jalan Kubang Lebur di sini, di tanah seluas 2.2 hektar.
“Seterusnya pada tahun 2005, Zoo Kuala Krai ditukarkan status kepada Taman Burung Kuala Krai sebelum ditamatkan operasinya pada tahun 2011.
“Pembukaan semula Mini Zoo Kuala Krai ini pasti mengimbau kembali memori dan nostalgia yang terpahat dalam memori yang akan menghiburkan rakyat Kelantan sebagai pusat rekreasi serta pelancongan,” katanya ketika ditemui pada Program Menteri Besar Jupo Mato bersama rakyat daerah Kuala Krai dan Perasmian Mini Zoo Kuala Krai di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman dan Ketua Jajahan Kuala Krai, Tengku Ab Rahman Tuan Yunus.
Ahmad berkata, pembangunan semula Mini Zoo Kuala Krai itu berkonsepkan manusia dan alam dengan sasaran pengunjung seramai 5,000 orang pada setiap bulan.
“Mini Zoo Kuala Krai adalah satu lokasi strategik dan pelancongan baharu di Jajahan Kuala Krai yang akan menggalakkan pelancongan domestik, menjadi pusat konservasi hidupan liar, mewujudkan peluang pendidikan dan menggalakkan perkembangan ekonomi setempat.
“Saya juga amat berharap Mini Zoo Kuala Krai ini dapat menjadi lokasi rekreasi keluarga tumpuan di Kelantan,” katanya.
Menurut beliau, tiket masuk ke Mini Zoo Kuala Krai bagi dewasa adalah RM10 manakala kanak-kanak dan warga emas RM5 serta orang kurang upaya (OKU) percuma.
“Sempena pembukaan ini, rakyat boleh mengunjungi zoo tersebut dengan menikmati harga tiket promosi dewasa RM8 manakala kanak-kanak RM4 selama sebulan bermula hari ini,” katanya. - Sinar Harian