Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2023 lubuk rezeki 100 usahawan luar bandar
Abdul Hafiz Mustadi
September 22, 2023 22:07 MYT
September 22, 2023 22:07 MYT
KOTA BELUD: Mini Karnival Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil Tahun 2023 yang julung kali diadakan di kawasan luar bandar Sabah iaitu di Tamu Taginambur berjaya menarik sekitar 2,000 pengunjung .
Sementara lebih 100 penjaja dan peniaga kecil sekitar daerah ini tidak melepaskan peluang untuk meraih hasil jualan yang lebih besar berbanding hari biasa..
"Selama ini kami tempat ini agak lengang namun dengan adanya karnival seperti ini ramai orang yang datang. Jadi itu memberi harapan kepada kami untuk memasarkan produk kami, dan menjual produk kami.
Kami sangat gembiralah dan pada hari ini pengunjung sangat ramai dan jualan kami pun hampir habis", ujar usahawan keropok lekor, Norlyn Maringingan,
Bukan sahaja peniaga tamu, malah peniaga atas talian seperti Dainty Satu turut mengambil kesempatan untuk meraih rezeki sepanjang karnival berkenaan berlangsung.
"Saya memasarkan produk saya ini melalui media sosial sebelum ini. Agak susah juga. Tapi bila ada karnival macam ini saya rasa gembiralah sebab ini membantu saya untuk meningkatkan lagi jualan produk saya", kata usahawan lada putih dan hitam itu,"ujarnya.
Bagi usahawan kuih Fauzi Jernih berharap agar program ini dapat diadakan lebih kerap di kawasan luar bandar di negeri berkenaan.
"Jadi kalau macam kami sebagai peniaga ni kena ambil peluang itulah untuk berniaga. Sangat penting program sebegini dan bagi saya setiap tahun kena buat", katanya.
Sementara itu Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, usaha pihaknya membawa karnival itu ke luar bandar bertujuan menyelami denyut nadi peniaga yang memerlukan perhatian daripada kerajaan.
"Kalau kita turun ke tempat di mana mereka berniaga ini barulah kita dapat menjiwai dengan lebih baik lagi keperluan mereka yang sebenar.
"Sebab itu Perdana Menteri bersetuju dengan pendekatan kita ini dan kita akan teruskan program sebegini.
"Sudah semestinya tahun ini dia lebih kepada konsep karnival. Tahun yang seterusnya pula konsep konvensyen di mana ada keperluan kita melibatkan penjaja, memberi forum-forum, dan seminar-seminar bersesuaian", ujar Ewon.
Sambutan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan di Buhavan Square Penampang pada 18 November ini dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.