Minggu yang sedih ... letih buat mangsa banjir
Ridauddin Daud
Disember 29, 2021 14:35 MYT
Disember 29, 2021 14:35 MYT
PUCHONG: Minggu yang sedih dan memenatkan.
Kadangkala mereka seakan putus harapan tatkala berdepan cabaran tidak diduga yang melelahkan mental dan fizikal.
Berbekalkan kudrat dan semangat yang masih berbaki, mangsa banjir di Kampung Tengah, Puchong terus tabah menempuhi liku-liku kehidupan pascabanjir.
Satu demi satu rumah dilewati krew Astro AWANI, realiti terungkai, kebanyakan penduduk masih sibuk mengemas kesan-kesan banjir di kediaman mereka.
Hari ini, bermakna sudah 11 hari, mangsa-mangsa banjir berdepan musibah banjir tidak diduga yang melanda lapan negeri di Semenanjung. Namun, kerja-kerja membersihkan rumah masih seperti tiada penghujung.
Dari mata dan wajah mereka, terserlah keletihan, kesedihan, kepedihan yang mungkin sukar diungkapkan.
Di sebalik ujian Allah S.W.T. yang menimpa, sinar harapan sebenarnya masih ada dan kerana itulah, mereka masih mampu melemparkan senyuman meskipun beban ditanggung tidak terperi beratnya.
Dua beradik ini misalnya, Hasnah dan Haliza Muhammad Abdu, masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an mengakui sudah penat namun mereka reda, mengatur langkah untuk masa hadapan pula.
"Tunggulah, sikit-sikit kita buat, perlahan-lahan buat sikit. Ini pun suami dah simbah air, bersihkan rumah.
Dugaan Banjir | Minggu yang sedih, letih buat mangsa banjir
"Alhamdulillah, kawan-kawan, anak-anak tolong, kelmarin tu siap dah, cuma nak kemas pinggan-mangkuk dan baju. Banyak baju kena basuh," kata Hasnah yang usianya sudah masuk 57 tahun.
Ketika ditanya agaknya lama lagikah nak berkemas dan membina kehidupan baharu: "Rasa lama lagi nak kemas, makan bulan, sampai rayalah kot tak siap ni," jawab Hasnah.
"Reda sajalah apa jadi. Sedih juga tengok keadaan, banyak yang rosak, banyak yang tak boleh pakai.
"Sehelai sepinggang sajalah. Sedihlah," kata Haliza pula.
Hakikatnya, menjadi mangsa banjir, dugaannya berganda-ganda kerana ia bermula sebelum, semasa dan juga selepas banjir.
Mohd Ridzuan Otsman, 38, terperangkap di rumah ketika banjir, selamatkan diri menggunakan kolam mandi kanak-kanak namun itu hanya permulaan kepada ujian demi ujian buatnya dan keluarga.
Menceritakan semula kejadian itu, tidak pernah dia membayangkan keluarganya menerima ujian sebegitu dan baginya, penutup tahun 2021 buatnya tidaklah seindah digambarkan.
Namun dia pasrah, terima qada dan qadar dan sehabis baik cuba berfikiran positif.
"Kalau nak cerita penat, memang penatlah seminggu ini. Pertama sekali, kita penat masa banjir.
"Lepas itu penat bila lihat rumah rosak teruk,harta benda musnah, perabot musnah, kenderaan musnah. Itu dah penat. ketiga, penat nak bersihkan.
"Yang keempat, sekarang ini, penat untuk membina baru. Memang agak besar juga dugaan untuk tahun 2021 ini tapi itulah, nak buat macam mana, hidup mesti diteruskan," ujarnya.
Kekal positif, itu pegangan bapa kepada tiga anak itu untuk kekal tabah harungi kehidupan mendatang.
"Kita tak boleh putus asa, fikir positif, melangkah setapak demi setapak," katanya.
Tidak berada di tempat mereka, tidak rasai kesukaran, kesedihan dan keletihan mangsa banjir, mana mungkin boleh benar-benar memahami sedalam-dalamnya perasaan mereka.
Namun, doa dari rakyat Malaysia sentiasa dipanjatkan untuk semua mangsa banjir tak kiralah di mana anda berada, mendoakan anda terus kuat dan dipermudahkan segala urusan.