Minggu Solidariti Palestin: Wadah pupuk nilai kemanusiaan, perpaduan sejagat

Astro Awani
Oktober 30, 2023 22:20 MYT
PKHARUDDIN: Aktiviti Minggu Solidariti Palestin ini adalah bertujuan menggambarkan suasana keamanan, kedamaian dan kesejahteraan sejagat yang perlu kita pupuk dalam kalangan murid-murid kita. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah penting untuk memastikan nilai kemanusiaan sejagat, perpaduan, keharmonian dan karamah insaniah dipupuk dalam kalangan murid berbilang kaum.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali menjelaskan, Minggu Solidariti Palestin yang berlangsung dari 29 Oktober hingga 3 November ini diadakan sebagai tanda kebersamaan Malaysia dalam konflik Israel-Palestin.
"Aktiviti Minggu Solidariti Palestin ini adalah bertujuan untuk menggambarkan suasana keamanan, kedamaian dan kesejahteraan sejagat yang perlu kita pupuk dalam kalangan murid-murid kita.
"Jadi, apa yang sedang berlaku di Palestin ini dilaporkan dalam media-media antarabangsa dan tempatan. Maka anak-anak kita yang berada di bangku sekolah ini tidak terkecuali daripada daripada mendengar atau melihat berita-berita berkenaan.
"Maka, kita mengadakan Minggu Solidariti Palestin supaya mereka terlibat sekali dalam memahami nilai-nilai murni yang akan diterjemah menerusi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di sekolah-sekolah," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Pkharuddin memberitahu, penganjuran program seperti itu juga akan memberi ruang yang lebih luas kepada murid di sekolah mengenai kejadian yang berlaku di Palestin dan pada masa sama mengenali hak asasi kemanusiaan sejagat.
Justeru beliau menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkomporomi dengan sebarang elemen provokasi serta konfrontasi.
"Minggu Solidariti Palestin ini sepatutnya menerapkan elemen kasih sayang, saling hormat- menghormati dan empati.
"Maka KPM sama sekali tidak akan berkomporomi dengan naratif atau apa-apa aktiviti berbentuk ekstremisme dan keganasan serta yang mengandungi provokasi atau menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum," ujarnya.
Selain sekolah, Minggu Solidariti Palesti turut melibatkan kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
#Kementerian Pendidikan #minggu solidariti palestin #Pkharuddin Ghazali #Perang Palestin-Israel