Minggu pertama persekolahan mampu pupuk motivasi pelajar hadir ke sekolah

Fahmi Izuddin
Mac 11, 2024 12:08 MYT
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ezaiddin Hussain (empat, kanan) beramah mesra bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 17(1) pada hari pertama pembukaan sekolah sesi 2024/2025 hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA : Minggu pertama persekolahan tanpa pembelajaran dilihat mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk hadir ke sekolah.
Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, pembelajaran secara informal menerusi aktiviti menarik yang diterapkan dalam minggu berkenaan dapat membentuk fokus dalam kalangan pelajar.
"Saya nampak, perkara penting walaupun tiada sesi pembelajaran yang formal tetapi pembelajaran yang informal ini akan memberi fokus kepada kejelekan pelajar yang menyebabkan mereka rasa, kalau mereka pergi sekolah mereka ada kawan.
"Bila ada kawan, anak kita akan lebih semangat untuk pergi ke sekolah dan bermotivasi. Lebih senang untuk ibu bapa nak menguruskan mereka untuk bangun di awal pagi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi di Sekolah Kebangsaan Presint 17 (1) Putrajaya, pada Isnin.
Sejak sesi persekolahan tahun lepas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pendekatan sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) dalam bilik darjah akan ditangguh terlebih dahulu pada minggu pertama.
Sebaliknya, minggu pertama akan diisi dengan aktiviti yang mewujudkan suasana ceria di sekolah serta penerapan adab dan akhlak.
Sementara itu, beliau menegaskan, penguasaan asas 3M (Membaca, Menulis, Mengira) amat penting dalam kalangan pelajar sekolah rendah, khususnya murid tahun 1 sebelum penilaian menerusi soalan-soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dijadikan sebagai pengukur prestasi kecemerlangan pelajar.
"Kita harus melihat, sebab ada yang tahap kecerdasan mereka adalah berbeza-beza sebab itu kita ada anak-anak yang kita sebut sebagai anak pintar cerdas dan sebagainya. Tetapi ada juga dalam kalangan anak-anak kita perlahan dari segi pelajaran mereka.
"Maka niat kita untuk soalan-soalan KBAT ini untuk tahap perkembangan kognitif ini dan tahap penguasaan mereka.
“Maka, apa yang lebih penting adalah penguasaan asas iaitu kebolehan untuk mereka membaca, kebolehan untuk mereka menulis dan mengira, apa bila perkembangan itu sudah dapat dikuasai dengan baik, maka barulah saya nampak elemen-elemen kemahiran berfikir ini kita terapkan dalam sesi pembelajaran dan pengajaran anak-anak kita," tambahnya lagi.
#sesi persekolahan #minggu pertama persekolahan #KBAT #Kementerian Pendidikan Malaysia
;