MINDEF peruntuk RM69 juta kepada TUDM selenggara rumah anggota
Bernama
Mac 14, 2024 22:30 MYT
Mac 14, 2024 22:30 MYT
PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM69 juta kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membaik pulih dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada RM400 juta yang diberikan kerajaan pada tahun ini bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Sebanyak RM7 juta diperuntukkan kepada TUDM di Pangkalan Udara Subang dan setakat ini 65 unit (rumah) sudah diselenggara dan berbaki 120 (unit rumah) lagi... kita akan pastikan selesai," katanya pada sidang media selepas melawat rumah anggota di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahary, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohamad Ab Rahman dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Beliau berkata peruntukan RM400 juta itu turut akan diagihkan di semua RKAT milik Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia dengan rumah anggota akan selesai diselenggara pada hujung tahun ini.
Mohamed Khaled berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian dalam soal kesejahteraan kehidupan anggota ATM terutamanya melibatkan rumah.
"Kita tahu dengan adanya rumah yang sempurna, anggota bukan sahaja membina keluarga yang bahagia tetapi dalam dia (anggota) menjalankan tugas, dia tidak perlu fikir (soal rumah).
"Selain itu tidak perlu memikirkan keadaan keselamatan keluarga apabila bertugas dan kerajaan sangat prihatin melihat keadaan ini untuk melihat rumah (anggota) dinaik taraf dan diselenggara," katanya.
Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut meluangkan masa berbuka puasa dengan warga TUDM di Masjid Al-Muhajirin di Pangkalan Udara Subang dan mengagihkan sumbangan kepada 20 warga TUDM bagi meringankan beban khususnya dalam menyambut Ramadan.
-- BERNAMA