Mindef pertimbang batal atau buka semula tender jika gagal hantar Black Hawk

Bernama
Mei 10, 2024 19:08 MYT
Mohamed Khaled berkata tindakan sedemikian berdasarkan perjanjian yang termaktub antara kementerian itu dengan syarikat kontraktor dilantik. - Gambar fail
KLUANG: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mempertimbangkan untuk membatalkan atau membuka semula tender ekoran kelewatan penghantaran pertama helikopter Black Hawk sekiranya kontraktor sedia ada masih gagal membuat penghantaran seperti dalam perjanjian.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan sedemikian berdasarkan perjanjian yang termaktub antara kementerian itu dengan syarikat kontraktor dilantik.
"Dalam pemerolehan sebegini, ia akan ada kelewatan dan soal (bagaimana) kita mengurus kelewatan itu seperti yang terdapat dalam syarat kontrak. Dalam kontrak kita mengambil kira perkara seperti ini akan terjadi dan apabila ia betul berlaku, kita rujuk kontrak.
"Apabila betul-betul tidak boleh hendak dilaksana, barulah kita buat keputusan sama ada untuk batal atau buka tender semula. Semuanya dalam keadaan diurus sebagaimana yang disyaratkan dalam kontrak," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kem Mahkota di sini hari ini.
Pada 16 April lepas, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilapor berkata Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan susulan sekiranya kontraktor yang dilantik masih gagal membuat penghantaran pertama helikopter Black Hawk yang sepatutnya pada hujung bulan lepas.
Muhammad Hafizuddeain dipetik sebagai berkata pihaknya amat berharap kontraktor berkenaan dapat membuat penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat itu.
Ditanya sama ada MINDEF mempunyai perancangan untuk membeli helikopter sendiri berbanding menyewa, Mohamed Khaled berkata pendekatan kerajaan adalah untuk memajak kerana langkah tersebut mempunyai elemen penjimatan.
Pada Mei tahun lepas, MINDEF menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata Poliklinik Kem Mahkota yang tertangguh sejak tahun lepas dijangka akan siap tahun depan setelah kontraktor baharu dilantik bagi menyambung kerja-kerja pembinaannya.
Menurutnya apabila siap kelak, poliklinik yang turut menyediakan pusat hemodialisis dan pusat pembedahan itu bukan sahaja akan menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 10,000 warga ATM yang menetap di kem tersebut tetapi juga kepada penduduk setempat.
Terdahulu, pada majlis itu beliau menyerahkan cek berjumlah RM11.4 juta bagi program Senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Mahkota tahun ini melibatkan 1,078 unit kediaman warga tentera yang bertugas di kem berkenaan.
Mohamed Khaled turut menyampaikan Sumbangan Pendidikan MADANI oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) kepada 10 anak ATM yang memasuki persekolahan tahun ini secara sekali beri RM50 yang dikreditkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN Prime), selain sumbangan tunai RM300 kepada 18 orang penerima dalam kalangan anak anggota yang menghidap penyakit kronik.
-- BERNAMA
#Mindef #Mohamed Khaled Nordin #Black hawk #tender #kelewatan penghantaran
;