MINDEF perkenal dua program pendidikan untuk warga ATM, ahli keluarga

Azib Zikry
Mac 10, 2024 12:15 MYT
Menurut Khaled Nordin, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan beliau komited untuk membangunkan satu ekosistem pendidikan dan kebajikan yang lengkap buat warganya. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) perkenal dua program pendidikan buat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang berkhidmat atau kepada ahli keluarga mereka.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan, beliau komited untuk membangunkan satu ekosistem pendidikan dan kebajikan yang lengkap buat warganya.
"Antaranya, MINDEF melalu Yayasan LTAT dengan kerjasama PTPTN akan memulakan program Penabungan PTPTN kepada pelajar Tahun 1 anak-anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari kumpulan Anggota Lain-lain Pangkat.
"Program yang dikenali sebagai Simpanan Pendidikan Madani (SPM) ini akan melibatkan sumbangan tabungan ke dalam akaun SSPN kepada 9,355 anak-anak ATM Tahun 1 bagi sesi Persekolahan 2024 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM467,750," tambahnya.
Selain itu kerajaan juga telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah angkatan tentera.
Menurutnya peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan ini akan memberi manfaat kepada 29 buah sekolah-sekolah rendah dan menengah termasuk sebuah MRSM di dalam kem-kem Angkatan Tentera di seluruh negara.
"Kedua-dua inisiatif ini kita lakukan kerana kita percaya bahawa kebajikan serta pendidikan berkualiti adalah perkara yang harus menjadi sebahagian daripada fokus utama Kementerian Pertahanan.
"Diharapkan ia dapat membantu kesemua anggota pertahanan negara menjalankan tugas dengan lebih baik, dalam masa yang sama, kita berharap yang inisiatif-inisiatif ini akan turut membantu melonjak ekosistem kebajikan serta pendidikan angkatan tentera," tambahnya lagi.
Khaled berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bersempena Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada Ahad.
Dalam program yang sama, telah menyaksikan satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman yang berlangsung antara Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bertempat di Kelab Belimbing, Maktab Tentera Diraja.
Memorandum kerjasama ini adalah merupakan persefahaman yang dimeterai bagi penganjuran beberapa aktiviti dan program meliputi pembudayaan penabungan di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional untuk anak-anak ATM kemasukan tahun 1 bagi tahun 2024 dan pelancaran kelab simpanan pendidikan PTPTN ke sekolah kebangsaan di bawah seliaan ATM.
#Angkatan Tentera Malaysia #Mohamed Khaled Nordin #PTPTN #ATM
;