MINDEF perkasa pangkalan data, selesaikan isu kebajikan veteran - Adly

Hasimi Muhamad
Jun 21, 2023 17:15 MYT
Adly berkata, MINDEF sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian kerana isu veteran bukan hanya melibatkan pencen, tetapi paling besar adalah kesihatan dan pendidikan anak-anak veteran - Foto/MINDEF
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkasakan sistem pangkalan data baharu menerusi Vibes 2.0 Go Live bagi memastikan kebajikan veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih terbela.
Timbalan menterinya, Adly Zahari berkata, kementerian sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian kerana isu veteran bukan hanya melibatkan pencen, tetapi paling besar adalah kesihatan dan pendidikan anak-anak veteran.
Justeru, beliau berkata portal Vibes 2.0 dijangka memberikan manfaat kepada lebih 200,000 veteran ATM dan waris meliputi pengurusan, pemantauan dan pelaporan maklumat yang lebih berkesan dan berintegriti.
"Jadi sebab itu di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), kita tingkatkan sistem data supaya data kita tepat tentang kedudukan veteran sedia ada.
"Sebab itu macam saya sebutkan tadi, kita di MINDEF berusaha cari jalan penyelesaian kerana kita tahu soal veteran bukan sahaja soal pencen, tetapi isu paling besar sekali adalah kebajikan dan kesihatan veteran dan pendidikan anak-anak veteran.
"Jadi saya fikir di MINDEF, kita harus lihat program jangka panjang untuk veteran bukan sahaja sedia ada tetapi mereka yang akan menjadi veteran. Lebih baik kita selesaikan secara menyeluruh (isu melibatkan veteran)," katanya selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Vibes 2.0 Go Live di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adly berkata MINDEF turut mengadakan pertemuan dengan semua persatuan induk bagi menyelesaikan isu penyelarasan pencen ATM, yang disifatkan sudah berlarutan lebih 10 tahun.
Terdahulu, Ahli Parlimen Ketereh Datuk Khlir Mohd Nor menggesa kerajaan menyelesaikan isu penyelarasan pencen veteran ATM, dengan jumlah penyelarasan pencen khas bagi veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 didakwa kurang 36 peratus berbanding tempoh selepas itu.
#Adly Zahari #Vibes 2 0 Go Live #pangkalan data #veteran tentera
;