MINDEF beri masa hingga Oktober ini untuk kontraktor hantar helikopter Black Hawk

Bernama
September 1, 2024 12:50 MYT
Mohamed Khaled (foto) berkata sekiranya pihak berkenaan gagal menepati masa yang diberikan, kementerian akan membatalkan kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter itu. -Gambar fail/Bernama
KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberikan tempoh hingga Oktober ini kepada pihak kontraktor untuk membuat penghantaran empat helikopter sewaan UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM).

Ringkasan AI
  • Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberikan tempoh hingga Oktober kepada kontraktor untuk menghantar empat helikopter sewaan UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM). Jika gagal, kontrak akan dibatalkan.
  • Kontrak sewaan helikopter ini bernilai RM187 juta dan ditandatangani dengan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun pada Mei tahun lepas.
  • Kelewatan penghantaran helikopter disebabkan oleh peperangan berlarutan di Ukraine. MINDEF masih belum membuat perancangan lanjut jika kontrak dibatalkan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sekiranya pihak berkenaan gagal menepati masa yang diberikan, kementerian akan membatalkan kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter itu.
"Kita beri masa sampai Oktober untuk penghantaran. Jika tiada penghantaran, akan batal (kontrak pembekal)," katanya kepada pemberita selepas perasmian My Villa di Dewan Felda Air Tawar 3 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan MINDEF berhubung kelewatan penghantaran empat helikopter berkenaan.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata MINDEF masih belum membuat perancangan lanjut sekiranya kontrak perolehan perkhidmatan sewaan empat helikopter itu dibatalkan.
"Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan," katanya.
Pada Mei tahun lepas, MINDEF menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.
Pada 16 Julai lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilaporkan berkata Aerotree Defence and Services memaklumkan peperangan berlarutan di Ukraine menjadi antara punca kelewatan perolehan perkhidmatan sewaan helikopter berkenaan.
Pada awal bulan lepas, Mohamed Khaled dilaporkan berkata MINDEF sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.
-- BERNAMA
#Black hawk #Mohamed Khaled Nordin #Mindef #tentera darat #UH-60A