MINDEF akan pastikan domain pertahanan ATM terus diperkasa - Mohamad Hasan
Bernama
Januari 5, 2023 17:17 MYT
Januari 5, 2023 17:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan terus memperkasa kesiapsiagaan domain pertahanan tentera darat, laut dan udara dalam memastikan keselamatan siber serta elektromagnetik dipertingkat.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana ancaman dalam domain siber kini dilihat semakin meningkat dan jika dibiarkan, berisiko memporak-perandakan pertahanan negara.
"Oleh yang demikian, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (Jeneral Tan Sri Affendi Buang) ada mencadangkan agar satu cabang baharu ditubuhkan bagi mempertahan domain siber dan elektromagnetik negara kita.
"Saya cadangkan supaya ia (cabang baharu) perlu dijayakan segera sebagai antara strategi pertahanan negara yang baharu," katanya dalam ucapan sempena Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2023 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Beliau juga berkata selaras dengan komitmen Kementerian Pertahanan dalam menjaga kebajikan warganya, Blueprint Perumahan 3.0 merencanakan pembinaan sejumlah 12,000 Rumah Keluarga Angkatan Tentera dalam Rancangan Malaysia ke-12.
-- BERNAMA